KOTA BHARU: 24 April (Bernama) Pengurus dana Permodalan Nasional Bhd (PNB) perlu terlatih, mahir dan bijak dalam memilih saham-saham, sektor atau industri yang boleh diceburi atau dilaburkan. Ahli Lembaga Pengarah Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Wan Noordin berkata di samping memiliki ijazah dalam bidang-bidang tertentu, mereka juga perlu menambah nilai diri dengan kemahiran tambahan seperti mengikuti pelbagai kursus serta memiliki sijil professional yang berkaitan. "Oleh kerana pengurus dana kita terlatih dan berkaliber, mereka telah dapat menjalankan tugas dengan baik dan dengan itu para pelabur PNB boleh menikmati pulangan pelaburan pada kadar yang baik dan memberangsangkan," katanya pada pertandingan akhir dan majlis penyampaian hadiah MSAM 2014 CCM Interschool Showdown pada Khamis. Beliau berkata setakat ini, PNB telah berjaya mengagihkan RM116 bilion kepada masyarakat pelabur sejak tahun 1981. "Pulangan yang diterima oleh para pelabur sebahagiannya adalah daripada keuntungan yang diperoleh daripada urus niaga para pengurus dana di pasaran saham selain dari penngagihan dividen oleh syarikat-syarikat yang kita miliki," katanya. Bagi tujuan tersebut, Mohd Zahid berkata PNB juga memiliki juru analisis berkaliber, yang kebanyakannya memiliki lesen sebagai pengurus dana. Ini, katanya, bagi memastikan pengurus yang dilantik untuk menerajui syairkat-syarikat milik PNB berkaliber, amanah dan berintegriti. "Kita juga sentiasa memastikan PNB sebagai pemegang saham dapat menambah nilai pelaburan tersebut. "Ini boleh dilakukan melalui pelbagai cara seperti pengambilalihan syarikat-syarikat yang berpotensi, pelupusan syarikat yang dilihat tidak mampu memberi nilai tambbah kepada syarikat dan penggabungan bagi meningkatkan sinergi dan keberkesanan kos," katanya. Program CCM Inteschool Showdown dianjurkan bersempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014 oleh Chemical Company of Malaysia (CCM) dan syarikat kumpulan PNB. Sejumlah 36 buah sekolah menengah harian di sekitar Kelantan telah mengambil bahagian dalam program ini yang melibatkan 10,468 pelajar sejak dari peringkat kelayakan. Objektif program ini ialah untuk memupuk minat pelajar untuk menceburi bidang pelaburan dan pengurusan dana sebagai satu kerjaya di samping meninjau peluang-leuang yang tersedia dalam industri ini. MSAM 2014 yang bertemakan 'Pelaburan 360 PNB' berlangsung sehingga 27 April ini menampilkan konsep segar, muda dan baharu dengan konsep taman tema. Taman tema MSAM ini tertumpu kepada empat bidang iaitu sukan, gaya hidup, teknologi serta beli-belah dan hiburan, yang masing-masing dinamakan Arena Aktif, Anjung Santai, Dimensi Digital dan Hiburia.