KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Trilliant, syarikat platform grid pintar utama dari Amerika Syarikat, untuk pertukaran maklumat teknikal dan latihan. MoU itu membolehkan kedua-dua pihak membuat penerokaan model untuk memberikan manfaat grid pintar seperti kecekapan tenaga yang dipertingkatkan, kebolehpercayaan yang lebih baik dan keselamatan tenaga kepada orang ramai di seluruh asas pelanggan TNB di Malaysia. "Penting bagi Malaysia untuk memastikan bekalan tenaga yang berpatutan, terjamin dan lebih bersih untuk memenuhi dan mengekalkan pertumbuhan ekonominya. "Grid pintar merupakan pemboleh yang akan membantu negara memodenkan infrastruktur tenaga di abad ke-21 untuk memenuhi matlamat ini," kata TNB dan Trilliant dalam satu kenyataan bersama di sini, Khamis. MoU itu telah ditandatangani oleh Presiden TNB dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Azman Mohd dan Pengarah Urusan Trilliant Asia Pacific Bryan Spear.