suria

Superb Komited Bantu Usahawan Bumiputera

Bestari Abrar Nasiruddin.
PETALING JAYA: Program Skim Permulaan Usahawan Bumiputera (Superb) akan bekerjasama dengan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) bagi merealisasikan cadangan untuk mempatenkan idea pemenang program berkenaan.

Pengarah Koridor Ekonomi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Bestari Abrar Nasiruddin berkata, sudah tiba masanya idea baru tersebut dipatenkan supaya ia tidak diciplak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Mungkin kita perlu berkolaborasi dengan MyIPO dalam isu ini. Dengan pemantauan daripada agensi berkaitan ini akan dapat membantu usahawan baru mengekalkan produk mereka untuk  tempoh jangka masa panjang.

"Harapan dan aspirasi kita agar semua peserta Superb berjaya. Namun kita akui dalam perniagaan tidak ada jaminan sesebuah perniagaan akan berjaya 100 peratus," katanya kepada media di ibu pejabat Teraju di Menara Surian, baru-baru ini.

Program Superb merupakan sebuah program yang diwujudkan khusus untuk membantu usahawan Bumiputera dengan mengetengahkan idea perniagaan berkualiti tinggi bagi merebut geran sebanyak RM100 juta yang disediakan untuk tempoh tiga tahun ini.

Peserta yang terpilih menyertai program tersebut kemudiannya akan disenarai pendek oleh Teraju untuk ke peringkat seterusnya sebelum dipilih sebagai pemenang oleh juri profesional.

Pada musim kedua yang akan bermula pada 19 Jun depan, Superb turut mendapat kerjasama daripada beberapa rakan strategik seperti Malaysia Debt Ventures Berhad, Permodalan Usahawan Nasional Berhad, SME Bank dan Biotechnology Corporation serta bantuan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (Magic).

Beliau berkata, geran bernilai RM20 juta diperuntukkan untuk 13 pemenang program Superb yang berakhir pada 29 Mac lalu.

"Kami berharap pemenang Superb ini akan memanfaatkan bantuan, bimbingan dan  mengutip ilmu berharga yang diperolehi daripada sesi 'coaching dan mentoring' yang diadakan serta input yang diterima daripada ahli panelis sewaktu sesi BizPitch masing-masing.

"Pada masa sama, kita juga bertanggungjawab untuk memastikan pemenang program Superb ini berjaya dalam jangka masa panjang. Justeru, Teraju akan memastikan setiap pemenang yang mendapat geran dipantau oleh rakan strategik selama dua tahun dengan sasaran untuk melihat mereka menjalankan perniagaan sendiri dalam tempoh berkenaan," katanya.

Teraju menjangkakan menerima lebih banyak penyertaan daripada Sabah dan Sarawak pada musim kedua ini.

Pemenang Superb musim pertama dari kiri, Megat Farril Rizal, Mohd Izmir Yamin, Muhamad Shahril Sahbudin dan Syahrizal Salleh.
 

Antara pemenang program Superb musim pertama, ialah Megat Farril Rizal, daripada Superencipherment Tenchnology Sdn Bhd, yang tampil dengan 'software security solution'. Perisian yang dibangunkan oleh beliau ini apabila disatukan dengan pemacu cakera keras mampu memberikan perlindungan data yang optimum. 

"ENCr8TOR Xlayer merupakan perisian yang saya bangunkan untuk melindungi data dalam komputer, terutama data melibatkan industri pertahanan dan maklumat sulit mengenai rahsia kerajaan. Setakat ini perisian yang saya bangunkan lebih baik daripada perisian yang dicipta oleh Israel. 

"Dengan adanya perisian ini kita dapat menghalang penggodam daripada mendapatkan maklumat sulit dalam sesebuah komputer. Saya gembira dengan menyertai program Superb ini dapat membantu menambah dana untuk membuat penyelidikan yang lebih menyeluruh sebelum menjual perisian ini kepada beberapa agensi kerajaan di negara ini. 

"Saya telah mengeluarkan dana sendiri berjumlah RM500,000 untuk membuat penyelidikan dalam membangunkan perisian ini," katanya. 

Bagi Muhammad Shahril Shahbudin daripada Aiis Solution Sdn Bhd pula, beliau tampil dengan perkhidmatan pembersihan ais kering dalam membersihkan turbin kapal terbang. 

"Dengan menggunakan ais kering untuk produk kejuruteraabn berkuasa tinggi seperti turbin, High Recovery Steam Generator (HRSG) dan pembersihan gegelung 'bank convection' ini mampu menjimatkan sekitar satu peratus minyak untuk setiap pesawat. 

"Berdasarkan kajian yang telah kami jalankan, dengan pengunaan sistem yang dibangunkan, ia mampu mencuci tiga turbin pesawat dalam masa empat jam dan minyak yang mampu dijimatkan bernilai RM20 juta setiap tahun. 

"Beberapa syarikat penerbangan antarabangsa juga berminat dengan idea kami ini dan kontrak akan ditandatangani sebaik sahaja produk ini dipatenkan di Jerman  edikit masa lagi," katanya. 

Kejayaan Shahrizal Salleh daripada Limesight Communications Sdn Bhd menerusi Superb pula berikutan penghasilan sistem mengecas tanpa wayar atau power bank.

Bagaimanapun, katanya, produk itu mempunyai pasaran yang agak luas namun terhad kepada dua jenis telefon pintar sahaja yang boleh menyokong sistem berkenaan. 

"Saya sedang melakukan penyelidikan bagi membolehkan produk saya ini menyokong semua telefon pintar yang terdapat di negara ini. Setakat ini ia hanya mampu menyokong telefon S3, Note 2 dan ia dijual pada harga RM199," katanya. 


Superb, Bestari Abrar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain