KANGAR: Sektor peruncitan FAMA dijangka menyumbang nilai jualan mencecah RM5 bilion setahun menjelang 2020, kata Pengerusinya Tan Sri Badruddin Amiruldin. Beliau berkata unjuran nilai jualan itu berdasarkan perkembangan positif usahawan di bawah bimbingan FAMA. "Saluran peruncitan FAMA pada masa ini lebih 2,500, ditambah 1,000 Pasar Tani disasarkan beroperasi pada 2020, bakal menyumbang jualan kira-kira RM2 bilion yang akan merealisasikan sasaran itu," katanya kepada pemberita selepas menutup Mesyuarat Agung Koperasi Usahawan Pasar Tani Perlis Berhad di sini, rabu. Beliau juga berkata FAMA akan memastikan Pasar Tani menawarkan harga rendah dan berpatutan sepanjang masa. Katanya penubuhan Koperasi Pasar Tani di setiap negeri bertujuan menggalakkan usahawan di bawah bimbingannya mengembangkan perniagaan ke peringkat global dan menghapuskan kebergantungan terhadap orang tengah. Badruddin turut meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyediakan tapak Pasar Tani di kawasan padat penduduk bagi membantu rakyat mendapat barangan keperluan harian dengan mudah, berkualiti dan pada harga patut. Sementara itu, beliau meminta pengguna supaya tidak bimbang dengan kemungkinan berlaku kekurangan bekalan barangan keperluan jika fenomena El-Nino melanda negara pertengahan tahun ini. "Saya nak beri jaminan bahawa FAMA menyediakan stok bekalan makanan kering yang mencukupi. Bekalan harian boleh didapati di Pasar Tani seperti biasa dan orang ramai tidak perlu simpan stok barang dengan banyak," katanya.