BUTTERWORTH: Kerajaan persekutuan memperuntukkan pinjaman sebanyak RM5 juta menerusi Skim Modal Pusingan Perniagaan Usahawan (SMPPU) untuk usahawan bumiputera di Pulau Pinang untuk mereka mengembangkan perniagaan. Pengerusi Kumpulan Sasar Pembangunan Usahawan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) Muhamad Farid Saad berkata SMPPU diperkenalkan sejak Mac lepas dan sebanyak RM930,000 pinjaman diluluskan kepada sembilan usahawan, setakat ini. "Kami menyasarkan 50 usahawan di negeri ini mendapat faedah menerusi skim itu dan mereka boleh menggunakannya untuk membuat pusingan modal perniagaan dalam usaha menambah produk serta mengembangkan perniagaan. "Menerusi SMPPU, setiap usahawan boleh meminjam dari RM20,000 hingga RM200,000 dengan faedah bayaran balik hanya dua peratus. Skim itu mendapat sambutan hangat pelbagai golongan khususnya generasi muda yang baru menceburi bidang keusahawanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Seminar Keusahawan 'Business Talk' 2014, di sini pada Rabu. Sebanyak 350 peserta terlibat dalam program anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang bertujuan memberi peluang kepada usahawan berkongsi ilmu dan tips perniagaan serta merangsang daya keusahawanan dalam kalangan rakyat di negeri ini. Sementara itu, Muhamad Farid berkata Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (PenBEX) akan didakan di Dataran Transformasi Usahawan Kubang Menerong dekat sini pada 31 Mei hingga 8 Jun ini untuk mempromosikan produk hasil keluaran usahawan tempatan. Beliau berkata 430 peniaga akan terlibat sepanjang ekspo sembilan hari itu dan pihaknya menyasarkan lebih 100,000 pengunjung dengan hasil jualan sebanyak RM2 juta akan dijana. "Ini tahun ketiga kami menganjurkan PenBEX dan ia berjaya membantu mempromosi serta menggalakkan rangkaian pemasaran produk dalam kalangan usahawan bumiputera terutama dari Pulau Pinang," katanya.