suria

Jualan Ford Melonjak 35 Peratus

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan keluaran Ford Motor Co pada April melonjak hampir 35 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 1,173 unit didorong oleh permintaan berterusan untuk kenderaan Ranger, Fiesta, Focus dan Kuga.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata pikap Ranger serba baharu terunggul dalam kategorinya menjadi keluaran Ford paling popular dengan jualan naik 38 peratus kepada 646 unit berbanding tahun sebelumnya dan setakat ini jualan mencapai 2,365 unit, meningkat 37 peratus daripada setahun lalu.

Pengarah Urusannya bagi Malaysia dan Pasaran Baharu Muncul Asia Pasifik David Westerman berkata permintaan bertambah untuk Fiesta baharu membantu memacu jualan pada April lebih 20 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 301 unit.

"Kami menjangka pelancaran Fiesta 1.0L EcoBoost baharu dapat membantu momentum jualan berterusan sehingga akhir tahun.

"Fiesta adalah penggerak utama produk kami dipacu oleh transformasi dan enjin 1.0L EcoBoostnya yang memberikan kenderaan ini kelebihan kerana sesuai dengan minat dan gaya hidup pengguna," katanya sambil menambah bahawa syarikat itu berhasrat melantik ejen jualan sehingga 50 lokasi di seluruh Malaysia menjelang penghujung tahun.

Ford Motor Co, Ranger, Fiesta, Focus, Kuga

Artikel Lain