JAKARTA: Syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) mengambil inisiatif membantu mempromosi pendidikan di Malaysia apabila menawarkan tambang serendah AS$69 (RM221) bagi penerbangan Jakarta-Kuala Lumpur-Jakarta. MAS turut menawarkan tambang serendah AS$52 (RM167) bagi penerbangan sehala Jakarta-Kuala Lumpur, khusus kepada pelajar warganegara Indonesia yang memilih melanjutkan pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi di Malaysia. Pengurus Kawasan Indonesia (Komersial) MAS Mohd Saleem Mohamed Shariff berkata inisiatif itu adalah produk terbaharu syarikat penerbangan itu bagi meringankan beban pelajar Indonesia yang melanjutkan pengajian di Malaysia, untuk berulang-alik antara Jakarta dan Kuala Lumpur. "Penawaran produk khusus kepada pelajar dari Indonesia ini adalah satu langkah yang dapat memberi manfaat yang besar kepada mereka. Ia juga dapat membantu mempromosi pendidikan di Malaysia," katanya selepas melancarkan 'Malaysia Airlines Student Fare' di Pejabat Promosi Pendidikan Malaysia (MEPC) di sini, Isnin. Turut hadir, Pengarah MEPC di Indonesia Yahurin Mohd Yassin. Mohd Saleem berkata produk terbaharu MAS itu diperkenalkan hasil perbincangan dengan perunding pendidikan yang berdaftar dengan universiti di Malaysia serta maklum balas daripada MEPC di Indonesia, sejak Februari lepas. "Daripada maklumat yang kami terima, setiap tahun jumlah pelajar Indonesia yang memilih Malaysia untuk melanjutkan pengajian meningkat. Maka, MAS mengambil inisiatif membantu mempromosi pendidikan Malaysia dengan menawarkan produk pendidikan ini," katanya. Beliau berkata Indonesia adalah negara pertama yang dipilih MAS untuk memperkenal produk tambang rendah khusus kepada perunding pendidikan negara itu yang memilih Malaysia sebagai destinasi melanjutkan pengajian peringkat universiti. Selain tawaran tambang rendah, Mohd Saleem berkata produk pendidikan MAS itu juga tidak menetapkan batas waktu tertentu bagi pembelian tiket, sebaliknya pelajar boleh membeli tiket pada bila-bila masa. "Bagi pelajar kemasukan baharu ke mana-mana universiti di Malaysia, MAS turut menawarkan tambahan akses bagasi sebanyak 10 kilogram daripada 30 kilogram yang diberikan bagi kelas ekonomi," katanya. Mohd Saleem, bagaimanapun berkata untuk menikmati tawaran tambang rendah, pelajar dari Indonesia perlu berhubung dengan perunding pendidikan berdaftar yang diberikan hak untuk membeli tiket penerbangan itu.