KUALA LUMPUR: Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengunjurkan untung bersih teras Boustead Plantations Bhd (BPB) akan melonjak 74.7 peratus kepada RM119.9 juta tahun ini sejajar kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) yang dijangka mencecah RM2,700 setan. Tahun lalu, harga purata berada pada RM2,353 setan. Bagaimanapun, HLIB turut menjangkakan untung bersih BPB pada 2015 akan mendatar pada RM116.4 juta, sebahagian besarnya disebabkan unjuran kos pengeluaran lebih tinggi. “Kami jangka BPB akan membayar dividen sesaham 4.5 sen, bersamaan 60 peratus daripada unjuran untung bersih teras, dan ini diterjemahkan sebagai pulangan dividen sebanyak 2.8 peratus,” kata firma itu dalam satu nota penyelidikannya Rabu. Mengikut HLIB, ia mempunyai unjuran positif jangka panjang terhadap sektor perladangan sawit BPB dan tanah simpananya seluas 246.8 hektar di estet Balau berpotensi untuk dibangunkan sebagai perbandaran hartanah kerana berdekatan dengan pekan Semenyih. Selain itu, program tanaman semula BPB serta penggunaan bahan penanaman baru akan menambah baik pulangan keseluruhan syarikat itu dalam jangka panjang. Firma penyelidikan itu menilaikan BPB pada RM1.63 sesaham berdasarkan penilaian semasa.