suria

Pro Ice Lancar Peranti Kurangkan Kemalangan Jalan Raya

Syed Hamid (kanan) mendengar penerangan Chai Wha mengenai produk Mobileye pada pelancarannya, Rabu.
PUTRAJAYA: Pro Ice Sales & Services (M) Sdn Bhd, syarikat kejuruteraan bahagian dalam kereta profesional sejak 1986, melancarkan sistem bantuan pemandu paling canggih (Adas) di dunia Mobileye.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Roger Tan Chai Wha berkata, sistem Mobileye itu berfungsi sebagai mata ketiga dalam kenderaan, iaitu bas, trak, lori, van dan kereta, untuk mengurangkan dan mengelak risiko perlanggaran.

"Mobileye ialah penyelesaian pintar bagi menangani masalah peningkatan kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat serta motosikal.

"Mobileye mengesan dan mengklasifikasikan pelbagai objek di jalan raya seperti pejalan kaki, lorong kenderaan, tanda dan isyarat lalu-lintas. Sekiranya akan berlaku bahaya, sistem peranti mengeluarkan amaran audio dan visual, menyediakan masa yang secukupnya bagi pemandu untuk bertindak," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Peranti itu dilancarkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Tan Sri Syed Hamid Albar.

Tan juga percaya peranti itu yang berharga RM5,999 bersama kos pemasangan, akan dapat mengurangkan jumlah kemalangan di negara ini dan dalam masa yang sama mendidik pemandu agar tidak memandu dengan melulu.

"Dengan Mobileye kita kini memiliki guru memandu sepenuh masa dalam kenderaan untuk memberi peringatan kepada pemandu akan sebarang tingkah laku pemanduan yang melulu. Data masa nyata juga boleh dihantar balik ke pejabat menerusi GPS (sistem penentu kedudukan global), agar syarikat boleh menilai tingkah laku pemandu dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang melanggar peraturan jalan raya," katanya. 

Mobileye, Adas

Artikel Lain