suria

Jualan Pembuatan April Naik 7.7 Peratus

KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan pada April 2014 meningkat sebanyak 7.7 peratus (RM3.8 bilion) kepada RM53.2 bilion daripada RM49.4 bilion setahun yang lalu.

Bagaimanapun, berdasarkan bulan ke bulan, nilai jualan merosot 4.8 peratus (RM2.7 bilion) berbanding bulan sebelumnya sebanyak RM55.9 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia di sini, Selasa.

"Berdasarkan pelarasan bulan ke bulan, nilai jualan pada April 2014 naik 0.3 peratus," kata jabatan itu.

Ia berkata jumlah pekerja dalam sektor pembuatan adalah seramai 1.026 juta orang pada April 2014, peningkatan 0.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Manakala berdasarkan tahun ke tahun, jumlah pekerja meningkat sebanyak 0.3 peratus (3,183 orang) berbanding dengan 1.023 juta orang pada bulan yang sama tahun lalu.

Jabatan itu berkata jumlah pekerja pada Mac 2014 telah dikemas kini kepada negatif 0.2 peratus tahun ke tahun kepada 1.025 juta pekerja.

Berdasarkan bulan ke bulan pula, gaji dan upah dibayar pada April 2014 menurun sebanyak 1.4 peratus (RM40.1 juta) kepada RM2.85 bilion.

Jumlah gaji dan upah dibayar pada April 2014 meningkat sebanyak 7.1 peratus (RM189.9 juta) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Nilai gaji dan upah yang dibayar pada Mac 2014 dikemas kini kepada positif 4.4 peratus tahun ke tahun kepada RM2.89 bilion.


Jabatan Perangkaan

Artikel Berikut

Artikel Lain