ASHGABAT (TURKMENISTAN): Petronas telah melabur kira-kira US$8 bilion dalam kerja-kerja penerokaan minyak dan gas di Turkmenistan bagi meningkatkan lagi hasil pengeluarannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata dengan pelaburan yang besar itu, penglibatan Petronas di negara Asia Tengah yang kaya dengan kawasan minyak dan gas ini akan menjadi lebih strategik pada masa akan datang. "Petronas juga merancang untuk menambahkan lagi saluran gas dan petrokimia (di kawasan penerokaan). Dengan ini, pengeluaran di kawasan kontrak perkongsian pengeluaran dapat ditingkatkan lagi," kata Najib dalam sidang media dengan wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat di sini pada Selasa malam. Najib berkata selain pelaburan Petronas merupakan perintis kepada kerjasama Malaysia dan Turkmenistan, syarikat minyak dan gas negara itu telah membuktikan kemampuannya sebagai syarikat unggul hingga diakui dan diiktiraf oleh Turkmenistan. Menurutnya Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov menganggap Petronas sebagai rakan kongsi yang begitu memahami aspirasi negara itu. "Sebab itulah Presiden Gurbanguly Berdimuhamedov mahu Petronas memperluaskan lagi pelaburannya di Turkmenistan sambil melatih warganegara mereka mendapatkan pengalaman dalam bidang gas dan minyak," kata beliau. Pada masa ini, Petronas adalah satu-satunya syarikat Malaysia yang menyertai industri cari gali minyak dan gas di Turkmenistan dengan meneroka di Laut Kaspia sejak 1996. Petronas menjalin kontrak perkongsian pengeluaran dengan Turkmenistan di mana syarikat Malaysia itu melakukan cari gali sebelum menjual hasil gas dan minyak kepada negara ini menerusi Turkmen Gas. Pada Selasa, Petronas turut memeterai memorandum persefahaman bagi kerjasama jangka panjang antara Petronas dan Agensi Negara bagi Hidrokarbon. Turkmenistan menduduki tangga keempat dalam senarai negara memiliki rizab gas selepas Iran, Rusia dan Qatar dengan mempunyai kawasan seluas 17.5 trilion meter padu. Ketika ditanya sama ada syarikat Malaysia yang lain berpeluang menceburi industri itu di Turkmenistan, Perdana Menteri berkata kerajaan membuka peluang itu namun, keutamaan tetap diberikan kepada Petronas. Najib berkata kerajaan juga menggalakkan syarikat-syarikat Malaysia supaya menceburi peluang pelaburan baharu dalam sektor pembinaan, perlombongan, pendidikan, sains dan teknologi, produk halal dan perbankan Islam ekoran Turkmenistan kini giat dengan projek pembangunannya. "Presiden Turkmenistan sangat mengharapkan Malaysia menjadi rakan kongsinya dalam semua bidang. Ini kerana keyakinan beliau terhadap Malaysia adalah amat tinggi. "Malaysia menjadi negara keutamaan bagi Turkmenistan," kata beliau. Najib juga menyifatkan lawatan rasmi kedua beliau ke negara ini lebih menyeluruh berbanding lawatan rasmi pertama pada 2011 di mana ketika itu, ia lebih tertumpu kepada pelancaran pelantar gas Petronas di negara ini. Menurutnya beliau juga melihat Ashgabat semakin maju dengan pembinaan bangunan-bangunan baharu sejak berkunjung ke negara ini tiga tahun lepas. "Kemajuan di Turkmenistan adalah amat rancak dan ekonominya terus berkembang pada tahap yang tinggi," kata beliau. Perdana Menteri berkata Malaysia dan Turkmenistan turut bersetuju menubuhkan sebuah Suruhanjaya Bersama bagi meningkatkan lagi kerjasama ekonomi dua hala antara kedua-dua negara. Menurutnya, hubungan dagang dua hala yang mencatatkan US$33 juta tahun lepas tidak mencerminkan potensi sebenar kedua-dua negara, justeru itu, Berdimuhamedov mahukan suruhanjaya itu dapat mengkaji cara untuk meningkatkan peluang perdagangan Malaysia dan Turkmenistan. Mengenai pelancongan, Najib berkata kerajaan memperkenalkan kemasukan tanpa visa selama 30 hari bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Turkmenistan mengunjungi Malaysia. Seramai 940 pelancong Turkmenistan mengunjungi Malaysia pada 2013. Najib juga berkata Malaysia dan Turkmenistan mempunyai pendirian yang sama di peringat antarabangsa. "Justeru, kita akan teruskan kerjasama dengan Turkmenistan dalam hal ehwal sejagat atau yang berkaitan kepentingan bersama," kata beliau. Perdana Menteri yang diiringi isteri Datin seri Rosmah Mansor berlepas pulang ke tanah air pada Selasa malam selepas menamatkan lawatan dua hari ke negara ini.