KUALA LUMPUR: Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Bhd (Koperasi Tentera) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 12 peratus kepada lebih 145,000 anggotanya membabitkan sejumlah RM116.4 juta. Pengerusi Koperasi Tentera, Mejar Jeneral Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, bayaran dividen tahun ini sedikit menurun berbanding 14 peratus tahun lepas berikutan penurunan pendapatan dan keuntungan. Katanya, koperasi itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat untuk tahun kewangan 2013 berjumlah RM159 juta, berbanding RM249 juta tahun sebelumnya iaitu penurunan sebanyak 36 peratus. "Penurunan pendapatan ini disebabkan peningkatan kos operasi dalam tahun lalu selain ketiadaan pendapatan luar jangka yang diperoleh berbanding yang diterima dalam tahun 2012," katanya semasa berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Koperasi Tentera di Kem Sungai Buloh, di sini, Ahad. Majlis mesyuarat itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri. Che Hasni berkata, di sebalik kekurangan pendapatan kali ini, Koperasi Tentera konsisten dengan prestasinya untuk pembayaran dividen sebanyak 12 peratus atau lebih sejak 1999. Dalam pada itu beliau berkata, bagi tahun kewangan sama, Koperasi Tentera mencatatkan jumlah yuran dan modal terkumpul lebih RM1 bilion berbanding RM915 juta pada tahun sebelumnya. Katanya, koperasi itu juga berjaya meningkatkan jumlah aset sebanyak 10.1 peratus kepada RM2.63 bilion berbanding RM2.38 bilion. "Aset pembiayaan pula menokok sebanyak RM339.8 juta dalam tahun 2013 atau 17 peratus kepada RM2.362 bilion berbanding RM2.023 bilion pada tahun 2012. Koperasi Tentera ditubuhkan pada tahun 1960 dengan objektif utama untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi dan kebajikan anggota ATM dan keanggotaannya terbuka kepada seluruh anggota ATM dan kakitangan awam yang berkhidmat dengan Kementerian Pertahanan.