KUALA LUMPUR: ExxonMobil Exploration & Production Malaysia Inc telah bersetuju menjual kepentingan penyertaannya dalam medan minyak Seligi di Laut China Selatan dan kontrak perkongsian pengeluaran PM8 kepada EQ Petroleum Production Malaysia Ltd. Dalam satu kenyataan pada Isnin, Pengerusi dan Presiden ExxonMobil, See Kok Yew, berkata penjualan itu selaras dengan amalan syarikat untuk terus mengkaji aset untuk sumbangan kepada objektif operasi dan kewangan ExxonMobil. "Dengan kehadiran lebih 120 tahun di Malaysia, ExxonMobil terus mengendali 32 platform di 12 medan pengeluaran dan mengekalkan kepentingan kerja di 10 lagi platform di lima medan di Laut China Selatan. "Medan terbabit secara bersama menghasilkan kira-kira 20 peratus minyak mentah dan kondensat negara dan membekalkan kira-kira 50 peratus keperluan gas asli Semenanjung Malaysia," katanya. EQ Petroleum adalah anak syarikat milik penuh EnQuest plc. EnQuest akan mengambil alih pengendalian semua aset berkenaan berikutan peralihan teratur itu.