suria

Syarikat Bioteknologi AS Disaran Jadikan Malaysia Hab

KUALA LUMPUR: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) semakin mendapat pengiktirafan peserta bioteknologi global sebagai pintu masuk pelaburan industri berasaskan bioteknologi untuk pasaran Asean dan Asia Pasifik.

Dalam hal ini, syarikat-syarikat bioteknologi Amerika Syarikat (AS) terutama yang terlibat dalam biofarmaseutikal, peranti perubatan dan biokimia telah diminta supaya mempertimbangkan Malaysia sebagai hab untuk memasuki pasaran Asia Pasifik.

"Kami mengalu-alukan kehadiran (syarikat multinasional AS) mereka ke (ECER), yang mempunyai kedudukan yang baik untuk menjadi destinasi pilihan bagi industri berasaskan bio," kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Datuk Jebasingam Issace John (gambar).

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata ECER berusaha secara agresif untuk menarik pelaburan berkaitan bioteknologi, terutamanya yang mempunyai nilai lebih tinggi dan produk biofarmaseutikal khusus yang lain.

ECER kini menyertai misi pelaburan dan perdagangan bio di Minneapolis, San Francisco dan San Diego di Amerika Syarikat mulai 18 hingga 26 Jun.

Misi ini diterajui oleh Perbadanan Bioteknologi Malaysia.

Jebasingam berkata pelabur global harus memanfaatkan lokasi strategik kawasan perindustrian ECER, inisiatif bioekonomi serta insentif pakej fiskal dan bukan fiskal yang ditawarkan di wilayah itu.

ECER telah berjaya menarik kehadiran peneraju utama bioteknologi dari peringkat antarabangsa dan memperoleh pelaburan bernilai RM63.58 bilion sejak 2007.

Bioteknologi

Artikel Berikut

Artikel Lain