KUALA LUMPUR: Malindo Air akan memulakan penerbangan terus ke Krabi, Thailand, dari Subang dan Pulau Pinang, mulai pertengahan September ini. Dalam satu kenyataan pada Rabu, syarikat penerbangan itu berkata Krabi merupakan perkhidmatan antarabangsa pertama dari Pulau Pinang bagi syarikat dan kedua selepas Batam, dari Subang. "Kami merancang untuk menambah lebih banyak destinasi pada bulan-bulan akan datang dan sebaik pesawat baharu tiba," kata Ketua Pegawai Eksekutif Chandran Rama Muthy. Tambang bagi perjalanan Pulau Pinang-Krabi dan Subang-Krabi bermula masing-masing dari RM149 dan RM179, sehala dan termasuk cukai lapangan terbang, peruntukan bagasi percuma, minuman ringan serta penggunaan jambatan udara.