suria

Lebih 1,000 Produk Halal Negara Dijangka Tembusi Pasaran China

BERA: Lebih 1,000 produk halal negara akan menembusi pasaran China sebelum akhir tahun ini yang merangkumi barangan berasaskan pertanian, ternakan, ikan, dan daging.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, satu pasukan pemantau produk halal dari Wilayah Xian akan ke negara ini pada September bagi memastikan produk halal yang akan memasuki pasaran negara China itu.

"Kita akan mempamer dan mengemukakan produk halal keluaran negara bagi membolehkan mereka pilih dan lihat sendiri sebelum memasuki pasaran negara terbabit sebelum akhir tahun ini.

"Kita harap lebih banyak produk halal negara akan menembusi pasaran China yang mana sehingga ini 232 jenis produk halal negara sudah dijual di negara itu termasuk di pasar raya Sam Bao di Xian dan mendapat sambutan mengalakkan," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat daerah Bera di Dewan Majlis Daerah Bera malam semalam.

Majlis turut hadiri oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemayan Datuk Mohd Fadzil Othman dan Pegawai Daerah Bera Shamsuddin Shah Mohd Said.

Beliau berkata, China amat yakin dengan keluaran produk halal Malaysia kerana selain bersih dan bermutu tinggi, harganya juga berpatutan serta diusahakan orang Islam sendiri.

"Produk halal negara mempunyai masa depan yang cerah untuk eksport kerana mendapat permintaan tinggi bukan sahaja dari negara China, malah Asia Barat, Eropah dan Afrika," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Agro Bazar pertama negara di Singapura yang dijadual dirasmikan pada semalam ditunda pada 27 Ogos depan.

Katanya, majlis yang dijangka dirasmikan bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Singapura terpaksa ditunda berikutan jadual padat pemimpin kedua-dua negara itu.

Ismail Sabri berkata, agro bazar pertama yang dibuka di luar negara itu akan memasarkan buah-buahan segar tempatan seperti durian, duku, rambutan dan produk industri asas tani terutamanya keluaran industri kecil dan sederhana (IKS).

Bazar berkenaan juga dijangka dibuka di Indonesia, Taiwan, Hong Kong, Jepun dan negara-negara Asia Barat secara berperingkat-peringkat, katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain