SHAH ALAM: EP Manufacturing Bhd (EPMB), syarikat pembuat sistem automotif tahap 1 dan komponen memperoleh kontrak membekalkan komponen automotif kepada Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB). EPMB sudah melabur RM27 juta untuk kilang baharu dan peralatan. Pengerusi Eksekutifnya Hamidon Abdullah pada Isnin berkata EPMB gembira kerana berjaya meluaskan asas pelanggannya, termasuk HMSB. "HMSB adalah antara lima pengeluar kenderaan utama di Malaysia dan jenama yang kukuh dalam industri automotif global. "Kontrak baharu ini adalah bukti keupayaan EPMB, sebagai pembekal komponen automotif tahap 1," katanya. Sementara itu, hubungan yang baru terjalin antara EPMB dan HMSB, bakal menjadi platform yang baik untuk kumpulan itu mempamerkan kepakarannya. EPMB berharap dapat bekerjasama dengan pengeluar kenderaan baharu, terutama selepas industri ini melihat kemunculan penggiat dan model baharu, disebabkan persaingan sengit susulan liberalisasi pasaran yang memacu harga kereta turun.