suria

Bank Islam Peruntuk RM600,000 Untuk Zakat

KUALA TERENGGANU: Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) memperuntukkan zakat lebih RM600,000 untuk 1,577 golongan asnaf, 12 sekolah dan 11 badan kebajikan di seluruh negara pada Ramadan tahun ini.

Golongan asnaf terbabit terdiri daripada 754 anak yatim dan pelajar miskin, 660 fakir miskin, 57 ibu tunggal dan warga emas, 30 orang kelainan upaya, 49 mualaf dan 27 pesara polis.

Pengurus Besar/Ketua Hubungan Strategik BIMB Datuk Wan Ismail Wan Yusoh berkata sumbangan zakat tersebut merupakan satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan setiap tahun sejak 2009.

"Sumbangan zakat ini bertujuan membantu meringankan beban ditanggung golongan asnaf...kita harap dengan adanya wang zakat ini dapatlah mereka membeli baju raya serta keperluan hari raya yang akan tiba," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pembahagian Zakat Bank Islam di Rumah Tunas Harapan Darul Helmi di sini.

Pada majlis itu, sebanyak RM28,400 diagihkan kepada 147 penerima golongan asnaf dan dua pertubuhan di Terengganu.

"Hari ini, seramai 65 anak yatim menerima sebanyak RM100 seorang, 49 orang mualaf menerima RM200 seorang, 23 golongan asnaf masyarakat setempat menerima RM200 seorang serta 10 orang cacat penglihatan menerima RM150 seorang.

"Kita turut memberi sumbangan untuk dua pertubuhan iaitu Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi yang merupakan rumah anak-anak yatim serta pertubuhan mualaf iaitu Darul Fitrah Cawangan Terengganu masing-masing sebanyak RM3,000 bagi membantu urusan pentadbiran pertubuhan berkenaan," kata Wan Ismail.

Sementara itu, Mohd Kamaruddin Tan Abdullah, 33, yang memeluk agama Islam sejak 19 tahun lalu bersama-sama anggota keluarganya menyatakan rasa terharu mendapat sumbangan zakat.

"Jarang sekali kami diraikan sebegini...sumbangan yang disalurkan oleh pihak Bank Islam ini dapat membantu mengurangkan beban kami terutamanya menghadapi bulan Ramadan," katanya yang bekerja sebagai pembuat perabot.

Mohd Ridzuan Ang Abdullah, 44, yang memeluk Islam sejak 15 tahun lalu berkata wang tersebut akan digunakan untuk keperluan Aidilfitri nanti.

"Raya bukan saja buat kawan-kawan Islam sahaja malah rakan keluarga saya bukan Islam, jadi saya akan sediakan makanan bagi meraikan hari raya ini penuh bermakna," katanya yang bekerja di sebuah kedai makan di sini. 


Bank Islam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain