suria

Pasfa Sasar Eksport Buah-Buahan Ke Hong Kong

KUANTAN: Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) menyasar untuk mengeksport 100 tan metrik sebulan buah-buahan tempatan dari ladang anggotanya ke Hong Kong menerusi kerjasama dengan syarikat pengimport buah-buahan dari negara itu, Global Benefit Consultant Limited (Hong Kong).

Pengerusi Pasfa Datuk Mustaffa Kamal Abdul Hamid berkata eksport buah-buahan tersebut bernilai RM20 juta setahun dengan perjanjian selama 10 tahun.

Beliau berkata antara buah-buahan yang akan dieksport untuk pasaran negara itu ialah buah-buahan bermusim seperti durian, rambutan dan manggis serta buah-buahan tidak bermusim seperti nangka, mangga dan jambu batu.

"Menerusi jalinan kerjasama ini, kita dapat membantu para anggota yang sebelum ini sukar memasarkan buah-buahan mereka hingga menyebabkan berlakunya lambakan di pasaran tempatan.

"Di samping itu, pendapatan para peladang juga dijangka meningkat apabila Pasfa membeli buah-buahan mereka dengan harga yang lebih tinggi iaitu 20 hingga 30 peratus dari harga semasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian pengeksportan tersebut bersama pengurus besar syarikat itu, Ben Lee di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Mustafa Kamal berkata buat permulaan Pasfa akan membuat penghantaran pertama buah durian ke Hong Kong sebanyak 10 tan metrik pada 15 Julai ini dan buah-buahan lain pada Ogos ini.

"Kita turut menjalinkan kerjasama dengan Nafas (Pertubuhan Peladang Kebangsaan) bagi memastikan bekalan buah-buahan yang akan dieksport ke Hong Kong terutama buah nangka mencukupi," katanya.

Sementara itu, Lee berkata usaha sama (JV) berkenaan bukan sahaja dapat meluaskan pasaran buah-buahan Malaysia tetapi juga meningkatkan kesedaran mengenai buah-buahan tersebut dalam kalangan penduduk Hong Kong dan China.

"Buah-buahan Malaysia menduduki tempat ke-17 dalam ranking buah-buahan di Hong Kong tahun lepas, jauh di belakang Thailand dan Filipina.

"Oleh itu, kami berharap JV ini akan membawa buah-buahan Malaysia ke kedudukan kelima tahun ini kerana kami percaya buah-buahan Malaysia yang terbaik dan mempunyai rasa yang terbaik setakat ini," katanya.

Lee berkata buah-buahan berkenaan akan dijenamakan semula sebagai 'Malaysian Best Fruit' (MBF) untuk pasaran Hong Kong dan China


Pasfa, Pahang, Hong Kong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain