suria

Teraju Agih RM14 Juta Kepada 28 Penerima Superb

Najib dan Muhyiddin bersama penerima sijil geran Superb pada majlis pengumuman pemenang Superb Bizpitch siri 2 2014 di Bangunan Perdana Putra di sini, Rabu.
PUTRAJAYA: Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) telah mengagihkan geran berjumlah RM14 juta setakat ini kepada 28 penerima untuk merealisasikan idea inovatif mereka menjadi satu perniagaan yang berjaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan geran Superb berjumlah RM7.5 juta kepada 15 penerima manakala pada April lalu, 13 penerima lain telah menerima geran berjumlah RM6.5 juta.

Setiap penerima memperoleh geran Superb berjumlah sehingga RM500,000.

Najib berkata, kerjasama Teraju dengan agensi kerajaan yang terlibat dalam Superb akan terus membantu perniagaan dan menyediakan khidmat perundingan bagi membolehkan usahawan Bumiputera mendapat dana lanjutan seterusnya.

"Saya ingin menyeru agar lebih ramai usahawan muda Bumiputera menyertai program Superb, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

"Saya berharap geran SUPERB ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk mengkomersialkan idea anda sehingga ke tahap seterusnya," kata beliau pada majlis pengumuman pemenang SUPERB BizPitch Siri Kedua 2014 di Bangunan Perdana Putra di sini, Khamis.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar dan Datuk Seri Idris Jala; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Husni Salleh.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Superb siri ketiga akan bermula pada 18 Julai ini.

Sementara itu, Teraju dalam kenyataannya berkata, ia akan terus mempergiatkan usaha bagi menarik lebih banyak penyertaan usahawan Bumiputera di peringkat negeri dengan mengadakan sesi saringan Superb BizPitch di setiap koridor ekonomi pada SUPERB siri ketiga.

Antara penerima geran Superb siri kedua ialah STI Tech Resources yang melaksanakan sistem komputer untuk pembekal kuasa utiliti, Tanya Technology Services Sdn Bhd (sistem penyejuk rig), Tuah Majumas Sdn Bhd (modul suntikan air mudah alih), Ayam Kampung Akar Putra (pengkomersilan baka baru ayam), Kemuda Bio Agro Tech Sdn Bhd (pembuatan makanan ruminan).

Penerima lain termasuklah Thinking Green Sdn Bhd yang melaksanakan projek kiosk tenaga solar, Revolusi Tani Sdn Bhd (arang-bio dari tempurung kelapa), PH Petro Sdn Bhd (pemerolehan minyak tertingkat kimia), Travel Travel Sdn Bhd (enjin pencarian hotel metasearch), Taxi Monger Sdn Bhd (aplikasi tempahan teksi dalam talian), ISKF FM Services (Sistem Inventori Penyenggaraan Pokok) dan WWW 1337 Tech Sdn Bhd (aplikasi perniagaan dalam talian-pengiklanan interaktif).

Siri kedua permohonan geran SUPERB yang bermula pada 1-16 Mei menerima hampir 2,000 idea perniagaan dari seluruh negara dan 30 peserta akhir telah dipilih melalui satu proses 'business pitching' berlandaskan dua kriteria utama iaitu inovasi dan kreativiti. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain