KUALA LUMPUR: Shell pada Selasa mengumumkan satu lagi kejayaan penerokaan di Malaysia dengan penemuan gas di telaga laut dalamnya, Marjoram-1. "Strategi kami untuk meluaskan kawasan kegiatan kami melalui penerokaan termaju di segi teknologi menghasilkan kejayaan besar di kawasan laut dalam di Malaysia," kata Pengarah Antarabangsa Huluan Shell Andrew Brown. "Kami mempunyai sejarah yang lama di rantau ini. Penemuan sumber gas asli baharu tahun ini menjamin kami mampu menyediakan sumber tenaga pilihan yang menjimatkan, boleh diharapkan dan bersih untuk masa depan," tambah beliau. Telaga Marjoram-1 terletak 180 kilometer di luar pantai Malaysia dalam Blok SK318, sedalam 800 meter. Awal tahun ini, Shell mengumumkan penemuan gas di Rosmari-1, juga dalam blok sama. Blok SK318 dikendalikan oleh Shell dengan kepentingan 85 peratus dan baki 15 peratus dipegang oleh Petronas Carigali Sdn Bhd.