PADANG (SUMATERA BARAT): Usahawan wanita di Malaysia dan Indonesia perlu memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi membina empayar perniagaan dan tidak boleh terus leka dan kekal dalam zon selesa, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor. Rosmah berkata dalam keadaan dunia yang semakin tidak mengenal batas sempadan antara negara di mana perdagangan dan pelaburan bersifat global, usahawan wanita perlu terus memperhebatkan jalinan perdagangan. "Kita sedia maklum bahawa selama ini Malaysia dan Indonesia telah menjalin hubungan perdagangan tradisional antara Sumatera Barat dan Malaysia. Untuk itu saya berpandangan bahawa kini tidak lagi mencukupi sekadar kita hanya mengharapkan hubungan ini terus berpaksi kepada faktor tradisional semata-mata. "Marilah kita mengatur langkah yang lebih pragmatik dan saling menguntungkan agar selepas ini wujud satu jalur perdagangan yang lebih rasmi antara dua negara," katanya ketika berucap di majlis perasmian jalinan perniagaan di antara usahawan wanita Malaysia dan Indonesia pada Selasa. Rosmah berkata wanita kini membentuk satu pertiga daripada golongan yang menyertai perniagaan di seluruh dunia. Di Malaysia, industri kecil dan sederhana (IKS) merangkumi 99 peratus daripada segala jenis bentuk perniagaan. "Daripada jumlah tersebut, sebanyak 16 peratus ataupun 83,000 dimiliki oleh usahawan wanita dan wanita juga merupakan peneraju dan penggerak pertumbuhan ekonomi dengan 40 hingga 50 peratus melibatkan diri dalam perniagaan IKS yang merangkumi sektor perdagangan, perkhidmatan penjagaan kesihatan, hiburan dan rekreasi serta perkhidmatan teknikal," katanya. Rosmah turut melahirkan keyakinannya bahawa semakin luas penyertaan wanita dalam perniagaan, semakin rancak pertumbuhan ekonomi sekali gus menjadikan negara Malaysia dan Indonesia lebih berdaya saing. "Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai program dengan kerjasama pihak swasta untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam keusahawanan hingga ke peringkat antarabangsa," katanya. Selain itu, katanya, pendedahan dan penganjuran program pembangunan di peringkat antarabangsa mampu membuka minda, memberi pendedahan dan mengenal pasti peluang yang tersedia. Beliau juga berkata pendedahan sedemikian penting untuk menunjukkan kepada dunia bahawa wanita Asean adalah pragmatik dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan global. Menyentuh jaringan perniagaaan Malaysia dan Indonesia, Rosmah berkata kedua-dua negara mempunyai potensi untuk memperluaskan jaringan itu melibatkan negara anggota Asean yang lain bagi menggalakkan integrasi serta mempelbagaikan sumber berdasarkan keistimewaan dan keunikan tersendiri setiap negara anggota Asean. "Dalam konteks Malaysia-Indonesia, saya percaya bahawa kita adalah serumpun yang mempunyai banyak persamaan dari segi budaya, bahasa dan cara hidup yang memudahkan kita berinteraksi dan bekerjasama. "Saya berharap kerjasama dan inisiatif sebegini tidak akan berhenti di sini tetapi ia akan berterusan terutamanya dalan usaha pembangunan ekonomi dan juga sosio-budaya kedua-dua negara," katanya. Rosmah juga berkata apabila usahawan telah bersedia dari segi fizikal dan mental, mereka mampu merealisasikan sebarang peluang yang ada untuk dijadikan asas perniagaan dan menjana kekayaan. Mengakhiri ucapannya dan bersempena dengan persidangan Asean yang akan diadakan tahun depan di Kuala Lumpur, Rosmah mempelawa usahawan dari Indonesia untuk menyertai Persidangan dan Pameran IKS Asean yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Mei 2015. Katanya program tersebut bakal menjadi platform terbaik untuk usahawan mempamerkan perniagaan mereka.