suria

AirAsiaGo Unjur Perolehan Meningkat Lebih 50 Peratus Tahun Ini

KUALA LUMPUR: AirAsiaGo kini agresif meningkatkan aktiviti perniagaannya dalam usaha untuk menambah pendapatannya lebih 50 peratus tahun ini dan mengekalkan momentumnya menuju 2015.


Portal pelancongan dalam talian itu juga berhasrat untuk melabur semula dalam operasi web dan pemasarannya untuk menguasai kira-kira 15 peratus daripada bahagian pasaran perjalanan dalam talian di Asia Tenggara menjelang 2017.

Bagaimanapun, portal ini enggan menyatakan sebarang angka.

Bagi memenuhi sasaran ini, Pengurus Besar AirAsiaGo, Darren Goh Boon Yew berkata, syarikat akan memanfaatkan tempat jualan yang berbeza, yang dijangka berkembang pada tahap dan skala berbeza, berdasarkan kematangan pasaran, penembusan dalam talian dan pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

"Pasaran-pasaran matang seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia dijangka mengalami perkembangan yang lebih perlahan, manakala Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun dijangka lebih cepat," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual e-mel.

Satu pertiga daripada perniagaan AirAsiaGo adalah dari Malaysia, katanya.

Boon Yew berkata, sasaran yang lebih tinggi akan disokong oleh web mudah alih, permintaan perjalanan yang lebih tinggi dan pelancaran laluan baru AirAsia.

Portal ini juga dijangka memperkenalkan web mudah alihnya pada suku keempat tahun ini, yang akan melihat penukaran lebih 45 peratus apabila ia memindah semua laman pada tahun depan.

Portal perjalanan itu juga menyasarkan pelancong percutian milenium Asia memandangkan Gen Y sering mencari dan bergantung kepada maklumat yang ada di web, amat berminat dengan media sosial, teknologi tinggi dan lebih suka perjalanan ke destinasi global pada kos rendah.

"Pelancong milenium, yang dilahirkan selepas 1980, sangat mementingkan jenama tetapi tidak setia, memberi tumpuan kepada harga, kemudahan dan ulasan daripada rakan-rakan.

"Rangkaian sosial memainkan peranan yang besar dalam mempengaruhi keputusan pembelian, oleh itu ia adalah penting untuk memberi perhatian kepada bagaimana pelancong menggunakan pelbagai platform media sosial," katanya.

Berdasarkan alasan berkenaan, beliau menyatakan perniagaan AirAsiaGo dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini.

Semasa ditanya mengenai prestasi industri penerbangan, Boon Yew berkata, perjalanan dan industri pelancongan akan terus menunjukkan perkembangan kukuh pada separuh kedua 2014.

"Tragedi MH17 dan MH370 baru-baru telah memberi kesan yang mendalam, bukan sahaja Malaysia, tetapi seluruh dunia. Kehilangan tragis daripada bencana baru-baru ini akan kekal di hati kita selama bertahun-tahun. Pelancongan dan perjalanan udara boleh memberi kesan dalam jangka pendek, tetapi akan pulih kemudian," katanya.

AirAsiaGo, diuruskan oleh AAE Travel Pte Ltd, usaha sama 50-50 antara syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd dan Expedia Inc, syarikat pelancongan dalam talian.

AirAsiaGo menyumbang 20 peratus kepada keuntungan AAE Travel dan dijangka berkembang sebanyak lima peratus setahun. 


AirAsiaGo, portal pelancongan

Artikel Lain