suria

Bank Rakyat Sasar Pertumbuhan 10 Peratus Segmen Kad Kredit-i

Kad Kredit-i Bank Rakyat
KUALA LUMPUR: Bank Rakyat menyasarkan pertumbuhan sebanyak 10 peratus untuk segmen Kad Kredit-i, tahun ini.


Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak berkata, institusi itu yakin pertumbuhan ekonomi yang lebih baik untuk 2014 akan memberi ruang kepada segmen tersebut terus berkembang.

Sehingga kini segmen kad kredit menyumbang tiga peratus kepada hasil institusi ini dan dijangka dapat mencapai 10 peratus menjelang 2015, katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran 'Kad Kredit-i 60 Tahun Bank Rakyat' di sini, Khamis.

Menurut Mustafha, Bank Rakyat merekodkan pertumbuhan 30 peratus asas tahun ke tahun sehingga kini.

Sehingga kini terdapat 300,000 pemegang kad kredit-i Bank Rakyat sejak dilancarkan pada 2008.

"Kami turut merancang untuk mengeluarkan 50,000 kad kredit-i sehingga 2015," kata Mustafha.

Kad Kredit-i edisi khas yang dilancarkan hari ini hanya untuk 10,000 pemohon, menjadikan Kad Kredit-i Kategori Emas itu unik.

Beliau berkata, Bank Rakyat kini mengutamakan usaha mempelbagaikan pendapatan kerana institusi itu tidak mahu hanya dikenali sebagai penyedia pembiayaan peribadi nombor satu di Malaysia.

Setakat ini, pembiayaan peribadi menyumbangkan 70 peratus kepada Bank Rakyat.

Bank Rakyat yang ditubuhkan pada 28 Sept 1954 di bawah Ordinan Koperasi 1948 (dikenali sebagai Akta Koperasi 1993) kini merupakan bank koperasi Islam terbesar di Malaysia dengan aset bernilai RM82.88 bilion berakhir Disember 2013.

Bank itu mentransformasikan sistem perbankan konvensionalnya kepada sistem perbankan syariah sejak 2003.


Artikel Lain