KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd menimbang peluang pelaburan yang lebih luas di Eropah Timur susulan pembukaan pejabat di Istanbul, Turki November lepas. Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangannya, Mohd Izani Ghani berkata, pejabat itu dibuka bagi meneroka peluang pelaburan di Turki, Afrika Utara dan Eropah Timur. Beliau bagaimanapun berkata Khazanah merancang menerbitkan sukuk mata wang asing di rantau itu namun ia belum dapat dilaksanakan memandangkan ia tidak mempunyai aset di Eropah Timur. "Kami belum menjadikan Eropah sebagai tumpuan pelaburan. "Oleh itu jika ada aset yang baik untuk kami melabur di wilayah itu, kami akan menimbangnya," katanya pada pembentangan mengenai "Sukuk: Malaysia sebagai Pasaran Global" pada Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2014 di sini, Rabu. Izani juga berkata, cabang pelaburan kerajaan merancang menerbitkan sukuk di Turki namun idea itu 'masih belum praktikal'. "Sudah ada gesaan untuk kita melaksanakan sukuk 'kebab' namun persekitaran kadar faedah di Turki masih tinggi dan mudah turun naik. "Kami mahu melaksanakannya (sukuk) dalam mata wang lain yang boleh menyamai persekitaran stabil, mata wang dan kadar faedah dalam negara," katanya. Khazanah sebelum ini menerbitkan beberapa sukuk mata wang asing menerusi program pelbagai mata wang RM10 bilion.