KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya tahun ini berikutan perniagaan kurier dan pemindahan dari kapal yang kukuh. "Kami berada di atas landasan untuk mengekalkan pertumbuhan yang dicapai pada tahun kewangan 2014 (FY14)," kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Iskandar Mizal. Pos Malaysia mencatat pertumbuhan 4.2 peratus dalam keuntungan bersih kepada RM157.7 juta pada FY14 berakhir 31 Mac 2014. Pendapatan melonjak 12.4 peratus kepada RM1.43 bilion. Iskandar berkata, perniagaan kurier dan pemindahan dari kapal akan memacu pertumbuhan penyedia perkhidmatan pos pada FY15. "Dengan lebih ramai pengguna Malaysia membeli-belah di dalam talian, ini akan meningkatkan permintaan untuk perkhidmatan kurier seperti mel ekspres serta penghantaran bungkusan. Ini akan memanfaatkan Pos Malaysia, yang menguasai 38 peratus pasaran kurier tempatan," katanya. Iskandar berkata demikian di sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan syarikat berkenaan di sini, Khamis. Pada FY14, Pos Malaysia mencatat pertumbuhan 20 peratus dalam pendapatan kurier dan menjangka mencatat pertumbuhan dua angka pada FY15. Menurutnya, Pos Malaysia juga akan bekerjasama rapat dengan rakan di China bagi mengembangkan perniagaan pemindahan, satu bidang yang menguntungkan ketika syarikat pos itu mempelbagaikan kegiatan daripada perniagaan pos dan mel tradisional yang semakin merosot. "Enam ratus juta barang dan US$200 bilion nilai transaksi diangkut keluar dari China dalam setahun," kata Iskandar dengan menambah Pos Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk turut merebut pasaran itu berikutan lokasi strategik Malaysia serta hab pemindahan Pos Malaysia di KLIA. Bagaimanapun, katanya, Pos Malaysia menjangka perniagaan pajak gadai Islamnya, Ar-Rahnu, hanya akan mendapat untung dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi. Ar-Rahnu, dilancarkan tahun lepas dengan kira-kira 100 outlet mengalami kerugian pada FY14 dengan pendapatan RM6 juta, kata Iskandar.