KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata, haknya untuk mengundi dalam cadangan penggabungan antara RHB Capital, CIMB Group Holdings Bhd dan Malaysia Building Society Bhd, adalah kritikal. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata, KWSP masih menunggu syarikat terbabit mengumumkan rancangan penggabungannya. "Hak KWSP untuk mengundi adalah kritikal untuk melindungi kepentingan kewangan pencarumnya. Semua pihak yang terlibat harus menyedari bahawa KWSP mewakili 14 juta anggota," katanya. Shahril berkata demikian selepas rundingan meja bulat media mengenai 'Perubahan Demografi : Menyedari Cabaran dan Peluang' di sini, Khamis. Laporan minggu lepas menyebut terdapat dokumen e-mel diedarkan dalam kalangan pengarah RHB Capital, meminta mereka untuk membantah permohonan kepada Bursa Malaysia untuk pengecualian yang akan membolehkan KWSP untuk mengundi pada urusan tersebut. Sementara itu, Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata, 69 peratus daripada anggota mereka yang berumur 54 tahun mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam simpanan setakat 31 Disember 2013. "Ini akan membawa kepada isu kekurangan tabungan persaraan. "Dengan mengandaikan bahawa setiap individu perlu berbelanja RM800 setiap bulan, bersamaan pendapatan garis kemiskinan semasa sebagai bayaran persaraan, simpanan RM50,000 itu hanya boleh bertahan selama lima tahun. "Angka ini rendah memandangkan mereka perlu mengekalkan hidup persaraan mereka selama 15 tahun," katanya. Samsu berkata, pendidikan kewangan perlu dipupuk untuk membolehkan rakyat Malaysia membuat pelaburan yang betul dan bermaklumat seawal mungkin.