suria

Produk Halal Malaysia Bakal Tembusi Wilayah Qinghai

PUTRAJAYA: Produk Halal Malaysia dijangka menembusi pasaran Wilayah Qinghai pertengahan tahun depan dengan sasaran nilai dagangan RM50 juta setahun, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, Wilayah Qinghai di Barat China akan menjadi pintu masuk produk halal berasaskan agro makanan sejuk beku dan kosmetik halal ke wilayah sekitarnya seperti Xinjiang dan Ningxia.

"Kini terdapat 12 juta penduduk Islam di wilayah Qinghai manakala ibu negerinya, Xining mempunyai 6 juta penduduk Islam. Oleh itu, produk halal Malaysia berpotensi besar untuk menembusi wilayah Qinghai dan wilayah sekitarnya.

"Pada peringkat permulaan, produk halal akan dipasarkan di Pasaraya Beijing Hualian di Xining. Kumpulan Beijing Hualian mempunyai 106 pasar raya di seluruh China," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Hikmah Marketing and Consultancy Sdn Bhd (Hikmah) dengan tiga syarikat dari wilayah Qinghai di Wisma Tani di sini, Rabu.

Ismail Sabri berkata, Pasaraya Beijing Hualian akan menyediakan Halal Mart seluas 3,000 kaki persegi khas untuk mempamerkan produk Halal Malaysia.

Pada majlis itu, Hikmah telah menandatangani MoU dengan Qing Hai A De Lan Investment Co Ltd untuk mengeksport barangan halal ke China.

Hikmah juga menandatangani MoU dengan Qing Hai Ying Hui Construction Co Ltd untuk membina sebuah pusat komersil Malaysia-China di Wilayah Qinghai di atas tapak seluas 4.5 ekar dan juga membina sebuah pusat komersial di Malaysia secara usahasama.

Selain itu, Hikmah akan bekerjasama dengan Qing Hai Kai Tuo Construction Engineering Co Ltd dan Munawara Engineering Sdn Bhd untuk projek hartanah.

Pengarah Hikmah, Mohd Ismail Ibrahim berkata, proses untuk mengeksport produk halal Malaysia telah bermula dengan penambahbaikan produk mengikut kehendak pasaran.

"Pakar pembungkusan dan pengurus produk Pasaraya Beijing Hualian telah datang ke Malaysia untuk memberi khidmat nasihat agar produk menepati kehendak penduduk Islam di China," katanya.

Menurutnya, produk Malaysia masih tidak boleh bersaing dengan produk dari Eropah, New Zealand dan Amerika Syarikat yang sudah lama bertapak di sana.

"Dengan adanya status halal, produk Malaysia boleh menembusi pasaran China khususnya di kalangan masyarakat Islam," katanya.

Bulan lepas, Ismail Sabri berkata, 1,000 produk agro makanan halal akan dieksport ke Xi'an dan wilayah lain seperti Lanju, Henan, Tianjin, Yinchuan dan Dalian tahun ini.

Dua pengimport dari Xi'an - San Bao Shuan Xi Halal Mart dan Regal Plus (China) Co Ltd - bersetuju mengimport 3,000 produk untuk diedarkan ke pasaran China tahun depan.


Artikel Sebelum

Rakyat Malaysia Amat Berinovasi

Artikel Berikut

Artikel Lain