suria

Permintaan Global Yang Kukuh, Bantu Eksport Malaysia

KUALA LUMPUR: Permintaan global yang semakin meningkat diunjur menyokong pertumbuhan eksport Malaysia yang kukuh, sekali gus menjanjikan masa depan yang lebih cerah untuk negara, demikian menurut Laporan Hubungan Global HSBC dalam edisi terbarunya.

Kajian Indeks Keyakinan Perdagangan HSBC (TCI) pula mendapati, aliran perdagangan masuk ke Malaysia dijangka meningkat, dan ini akan membantu negara mencatatkan unjuran positif secara meluas dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Unjuran untuk perdagangan kekal positif secara meluas, walaupun TCI menunjukkan penurunan sebanyak tiga mata kepada 110 dalam separuh pertama 2014.

"Banyak perniagaan menjangkakan peningkatan dalam pesanan baharu hasil permintaan global yang semakin meningkat," kata laporan yang diterbitkan sebanyak dua kali setahun itu.

Ketua Perdagangan Global dan Terimaan Kewangan HSBC Bank Malaysia Bhd, Vincent Sugianto berkata walaupun terdapat kebimbangan jangka pendek, persekitaran perniagaan di Malaysia telah pulih secara drastik.

"Ini dibuktikan menerusi peningkatan kedudukan Malaysia di tingkat keenam pada 2014 berbanding 12 sebelum ini.

"Berikutan permintaan global yang dijangka bertambah dalam jangka terdekat, persekitaran perniagaan yang stabil dan kompetitif akan melonjakkan pelaburan langsung asing dan menyediakan tapak yang kukuh yang membolehkan perniagaan Malaysia melakukan perluasan perniagaan ke pasaran lain yang pesat berkembang," katanya.

Untuk tempoh yang lebih panjang, permintaan untuk eksport Malaysia akan terus mengukuh dan fokus negara ini ke atas Asia akan diteruskan, katanya.

"China mengatasi Singapura sebagai pasaran eksport Malaysia terbesar pada 2013, kedudukan yang akan terus diperkukuh dengan jangkaan pertumbuhan eksport sebanyak 12 peratus setahun sehingga 2030," kata Sugianto yang memetik unjuran bank itu.

Sementara itu, dalam fokus khas mengikut sektor, laporan itu menggariskan bahawa eksport tenaga Malaysia diramal tumbuh 5.3 peratus setahun daripada 2014 hingga 2030 seiring dengan usaha negara ini yang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab utama antarabangsa untuk pengeluaran gas dan minyak.

Ketua Projek Kewangan HSBC Malaysia Michael Cooper berkata Malaysia berada di lokasi strategik, dengan limpahan bekalan minyak dan gas asli.

"Memandangkan permintaan tenaga akan terus meningkat di Asia dan dunia, Malaysia mampu memanfaatkan peluang ini untuk terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tenaga dunia," katanya.

Kajian HSBC TCI ke atas 23 pasaran, mengandungi pandangan enam bulan oleh 5,200 pengeksport, pengimport dan pedagang. Kajian itu dilakukan antara Mei dan Julai 2014.


HSBC

Artikel Sebelum

53,400 Syarikat Daftar GST

Artikel Berikut

Artikel Lain