suria

Thailand Sasar Perluas Kerjasama Perniagaan Dengan P Pinang

GEORGE TOWN: Thailand merancang memperluas kerjasama perniagaan dengan Pulau Pinang dalam bidang seperti pembinaan dan makanan laut.

"Terdapat banyak peluang perniagaan dan pelaburan yang boleh kami lakukan bersama rakyat Malaysia.

"Kami dapati Pulau Pinang sebuah negeri yang membangun dengan baik, di Malaysia banyak syarikat multinasional melabur di sini," kata Akarapong Dipavajra, Pengarah Eksekutif Bahagian Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan, Jabatan Perdagangan Luar Thailand.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada seminar dan sesi padanan perniagaan dengan delegasi Thailand di sini Khamis.

Katanya walaupun pelaburan Thailand di Pulau Pinang adalah kecil, jumlah itu berpotensi untuk meningkat.

Dipavajra yang juga ketua delegasi, berkata Thailand menubuhkan lima zon ekonomi khas untuk merangsang perdagangan dan persediaan pelaksanaan Komuniti Asean tahun depan, iaitu di Mae Sot, Aranyaprathet, Khlong Yai, Mueang dan Sadao.

"Kami sedang mengkaji aspek keselamatan dan prasarana yang harus kami bangunkan serta sokongan untuk merealisasikan cadangan ini. Kami boleh gunakan tenaga kerja dari negara jiran untuk bekerja di kawasan itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd Rashid Hasnon dalam ucapan alu-aluannya berkata sesi padanan perniagaan membantu meningkatkan kesedaran mengenai peluang perniagaan bagi komuniti perniagaan Thailand dan Pulau Pinang, serta merancakkan lagi hubungan perdagangan antara kedua-duanya.

"Terdapat banyak peluang untuk memperhebat kerjasama antara Pulau Pinang dan Thailand terutama dalam produk halal, makanan dan pelancongan dalam Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan Komuniti Asean 2015," katanya.

Beliau berkata Thailand merupakan sumber pelancong kesembilan terbesar yang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 2013, dan bilangan pengunjung dari Thailand tumbuh empat peratus bagi separuh pertama tahun ini.


Thailand, Pulau Pinang

Artikel Sebelum

Artikel Lain