BUTTERWORTH: SMPC Corporation Bhd, pengeluar barangan keluli yakin prestasinya pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015 akan meningkat. Pengerusinya, Sudesh K.V. Sankaran berkata, pelancaran pelbagai projek sambungan infrastruktur oleh kerajaan seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) akan merangsang industri itu dan juga ekonomi. Menurutnya, SMPC menyasar untuk menggandakan keuntungan pada tahun kewangan 2015 berbanding tahun sebelumnya. "Kami menjangka bumbung logam, sistem sokongan kabel berlubang dan bahagian kitar semula akan menjadi penyumbang utama kepada keuntungan kumpulan pada 2015," katanya kepada Bernama selepas mesyuarat agung tahunan SMPC di sini, Jumaat. SMPC kembali mencatat untung dengan keuntungan sebelum cukai RM4.6 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 berbanding kerugian RM2.8 juta pada tahun kewangan sebelumnya. Pendapatannya meningkat kepada RM143.6 juta berbanding RM137.1 juta sebelum ini. Sudesh mengaitkan peningkatan prestasi SMPC pada tahun kewangan 2015 kepada beberapa kontrak yang diterima seperti membekalkan bumbung logam kepada empat universiti di Pagoh, MRT serta sistem sokongan kabel berlubang. Selain itu, beliau berkata, ekonomi Malaysia sebahagian besarnya dipacu pelaburan dalam infrastruktur dan peningkatan industri minyak dan gas akan memanfaatkan SMPC berikutan pembabitannya dalam sektor berkenaan. Sudesh berkata, SMPC merancang menaik taraf jenteranya bagi meningkatkan produktiviti dalam usaha memanfaat peluang yang bertambah dalam infrastruktur serta pembangunan minyak dan gas di negara ini. SMPC adalah syarikat pegangan pelaburan di mana anak syarikatnya terbabit dalam pemprosesan gegelung keluli, tiub, perabot keluli, bumbung logam, logam berlubang serta kitar semula besi buruk industri.