TUMPAT: Zaniz Heritage Sdn Bhd, pengeluar produk makanan tradisional serunding, menyasarkan Brunei dan Indonesia untuk mengembangkan perniagaannya tahun depan. Selain serunding, syarikat yang ditubuhkan pada 2007 itu turut mengeluarkan minuman berperisa, produk kesihatan berasaskan minyak kelapa dara, dan makanan segera. Pengarah Urusannya, Wan Samsiah Wan Mohd Nor berkata, proses menembusi pasaran luar itu kini sudah mencapai 80 peratus, dan menjangkakan selesai sebelum Disember ini. "Kami dalam proses membuat rekaan dan bentuk bungkusan baharu selain mendapatkan beberapa ejen untuk memasarkan produk. "Dari segi bungkusan, berat serunding kami diminimumkan kepada 250 gram bagi memudahkan produk ini menembusi pasaran kerana konsepnya lebih kepada harga mampu milik," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Laut, di sini, Ahad. Katanya, pihaknya turut mencari peluang untuk mendapatkan bantuan daripada beberapa agensi seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) untuk memasarkan produk berkenaan. Wan Samsiah berkata pihaknya menyasarkan nilai jualan sebanyak RM2 juta bagi pasaran tempatan dan luar negara tahun depan berbanding RM1 juta tahun ini. "Saya yakin dapat mencapai sasaran itu memandangkan produk kami bukan sahaja menembusi pasaran luar, malah turut akan dijual di setiap pasar raya di seluruh negara," katanya. Beliau berkata, setakat ini, nilai jualan sudah mencapai RM500,000 daripada sasaran RM1 juta tahun ini. "Nilai jualan ini mampu dicapai berdasarkan permintaan yang agak tinggi sepanjang tempoh empat bulan kebelakangan ini," katanya yang mempunyai tiga pembantu.