PETALING JAYA: Syarikat keselamatan komputer, Kaspersky Lab menandatangani dua perjanjian, masing-masing dengan Interpol dan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Europol untuk mewujudkan jaringan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang bagi memerangi jenayah siber. Menyedari pentingnya usaha ke arah itu, Kaspersky Lab mengambil insiatif dengan membentuk hubungan dengan kedua-dua pihak berkenaan menerusi pemeteraian dokumen berkenaan. Majlis diadakan pada Selasa lalu itu turut dihadiri Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eugene Kaspersky dan Setiausaha Agung Interpol, Ronald K Noble yang mewakili syarikat dan agensi masing-masing. Menerusi jalinan ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk menyediakan produk, risikan dan sokongan berterusn kepada Kompleks Inovasi Global Interpol (IGCI) di Singapura. Pada hari berikutnya, Kaspersky bersama Penolong Pengarah Europol, Troels Oerting dan Ketua Pusat Jenayah Siber Erupah (EC3) menandatangani MoU antara Makmal Kaspersky dan agensi penguatkuasaan undang-undang Kesatuan Eropah. Majlis berkenaan berlangsung di Singapura, yang turut menjadi hos Persidangan Jenayah Siber Interpol-Europol yang akan berlangung antara 1 hingga 3 Oktober ini. Kaspersky berkata, perjanjian ini adalah antara langkah yang diambil untuk memerangi jenayah siber di peringkat dunia. "Kerjasama kami dengan Interpol dan Europol adalah pencapaian awal bagi keseluruhan industri keselamatan siber kerana kerjasama antara sektor swasta dan awam sememangnya penting untuk meningkatkan aspek keselamatan alam siber. "Perkongsian bersama ini seiring dengan misi untuk menyelamatkan dunia daripada ancaman siber yang sentiasa ke hadapan dan berkembang dengan pantas. Berikutan itu jugalah kami berganding bahu dengan badan penguatkuasaan undang-undang dalam dan luar negara untuk memastikan usaha membanteras kegiatan ini berkesan," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini. Menerusi perjanjian dengan Interpol, syarikat berkenaan akan menyediakan perisian dan perkakasan untuk mewujudkan dan membantu operasi makmal forensik digital IGCI serta pusat lain yang baru dibangunkan. Sehubungan itu, Makmal Kaspersky akan menganjurkan beberapa sesi latihan untuk pegawai Interpol supaya kepakaran mereka dalam, analisis malware forensik digital dan penyelidikan ancaman kewangan. Makmal sama mula bekerjasama dengan Interpol sejak April 2013, dimana satu daripada analisis malware terkemuka syarikat akan ditempatkan di IGCI. Sementara itu, Noble berkata, perubahan lanskap ancaman siber memerlukan pakar teknikal berkemahiran tinggi, selain mewujudkan kerjasama dengan penguatkuasa undang-undang untuk memerangi jenayah siber dan meningkatkan aspek keselamatan digital. "Perjanjian Interpol dengan Kaspersky Lab adalah signifikan kerana ia langkah ke depan untuk memerangi jenayah siber global dan memastikan negara yang bekerjsama dengan kita memperoleh sokongan sepenuhnya bagi menangani ancaman ini," katanya. Selain itu, Oerting yang turut berucap pada majlis itu menganggap MoU yang dimeterai adalah asas yang baik untuk mengukuhkan kerjasama sedia ada dengan Kaspersky Lab dalan usaha yang sama untuk memerangi jenayah siber di Eropah dan kawasan lain. "Usaha membentuk kerjasama ini penting kerana ia membabitkan perkongsian kepakaran dan pengetahuan, selain untuk mencapai objektif sama iaitu memiliki alam siber yang terkawal, telus dan bebas," katanya. Kaspersky Lab diasaskan pada Julai 1997 untuk membekalkan keluaran anti-virus, anti-perisik, anti-spam, dan anti-perejahan. Ia adalah syarikat persendirian yang berpusat di Moscow, Rusia, dengan pejabat wilayahnya di Amerika Syarikat, Belanda, China, Jepun, Jerman, Korea Selatan, Perancis, Poland, Romania, dan United Kingdom.