suria

Tanaman Koko Berpotensi Tingkat Pendapatan Petani

SANDAKAN: Koko berpotensi untuk meningkatkan pendapatan petani, terutama di kawasan luar bandar, kata Pengerusi Felcra, Datuk Bung Moktar Radin.


Menurutnya, dengan harga sekitar RM9,000 setan di samping teknologi yang ada, khidmat nasihat daripada Lembaga Koko, tanaman itu mampu membawa keuntungan.

"Saya percaya kepelbagaian tanaman akan mengurangkan kebergantungan kepada satu atau dua jenis tanaman," katanya yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan ketika merasmikan penutupan Kursus Asas Teknologi Koko Pantai Timur Sabah di sini, Jumaat. Kursus tiga hari itu dihadiri 100 peserta.

Katanya, tahun ini kerajaan telah meluluskan peruntukan RM16 juta untuk membangunkan 2,000 hektar untuk tanaman koko di seluruh negara.

Menurutnya, 100 hektar daripadanya membabitkan kawasan timur negeri ini iaitu Kinabatangan seluas 59.5 hektar, Pulau Sebatik Tawau (22.50 hektar), Semporna (11.50 hektar), Tawau (4 hektar) dan Kunak (2.5 hektar).

Bung Moktar berkata, program tanaman baru koko telah bermula sejak dua tahun lepas bagi meningkatkan pendapatan petani khususnya di luar bandar.

Kursus asas teknologi koko itu, katanya, bersesuaian dengan usaha kerajaan membantu penduduk miskin sejajar dengan matlamat menjadi negara maju menjelang 2020.

Menurutnya, ia juga dapat membantu menukar persepsi tanaman itu sebagai keperluan harian kepada tanaman perniagaan dan industri.


Koko, Datuk Bung Moktar Radin, Felcre

Artikel Berikut

Artikel Lain