KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata sektor hartanah antara pemacu utama ekonomi Malaysia selain amat penting kepada keadaan kewangan kira-kira 140 industri berkaitan. "Pemaju hartanah berkait dengan golongan profesional, pembiaya, pembekal bahan binaan, pengangkutan, pakar produk, kontraktor dan sebagainya. Paling penting dalam rantaian ini ialah pembeli hartanah," kata Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah. Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis 'Sabah mengalu-alukan Pemaju Hartanah Utama Malaysia', di sini malam tadi, bertujuan merai pemaju hartanah yang memenangi anugerah 'The Edge Malaysia Property Excellence Awards 2014'. Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan. "Malam ini kita meraikan pemaju hartanah yang bertanggungjawab, atas usaha anda dalam memastikan penyerahan produk berkualiti kepada pelanggan dan tanggungjawab sosial korporat anda kepada masyarakat," kata Musa. Sabah dipilih sebagai destinasi kembara rangkaian kerja pertama oleh pemimpin industri hartanah dan pemenang 'The Edge Property Excellence Awards', katanya. Menurut Musa, pemaju hartanah juga memainkan peranan penting dalam industri pelancongan di Sabah dengan menyediakan lebih banyak hotel serta resorts bagi menampung peningkatan permintaan selain terus membangunkan sektor pelancongan. Beliau berkata Sabah masih destinasi pilihan pelancong dengan kira-kira tiga juta pelawat tiba di negeri ini tahun lepas dan angka itu terus meningkat sekalipun timbul pelbagai cabaran termasuk isu berkaitan keselamatan. Musa juga mempelawa pemaju hartanah utama tanah air untuk meneroka sektor hartanah kediaman seperti kediaman di atas tanah dan apartmen dengan mengembangkan produk mereka dalam segmen berbeza, susulan permintaan yang semakin meningkat. Pada masa sama beliau turut menggesa pemaju agar memastikan harga hartanah tidak meningkat secara keterlaluan selain memperuntuk ruang untuk membina lebih banyak rumah mampu milik. Mengenai kembara rangkaian kerja ke Kota Konabalu itu, Musa berharap pemaju hartanah turut meninjau potensi Sabah dalam perdagangan dan pelaburan, bukan sekadar pelancongan semata-mata. Katanya Sabah sedang dipersiapkan untuk menarik pelaburan dalam pembuatan terutama untuk sektor hiliran minyak dan gas serta minyak sawit, dan usaha ini secara beransur-ansur akan menghasilkan lebih banyak peluang pembangunan hartanah.