KUALA LUMPUR: Hanya sehari selepas mengumumkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM106.7million bagi sembilan bulan pertama tahun ini, Media Prima Berhad mengumumkan bahawa mereka akan mengurangkan pekerja. Menerusi satu kenyataan, Media Prima berkata Skim Pelepasan Sepakat (MSS) akan dilaksanakan bermula Jumaat dan dijangka berakhir pada 15 Disember. Tawaran MSS adalah sebahagian daripada strategi perniagaan jangka panjang untuk mengekalkan kedudukan kumpulan itu dan memungkinkan untuk menjadi lebih berdaya tahan terhadap persaingan industri yang sengit dan persekitaran yang semakin mencabar. Walaupun butir-butir bilangan pekerja yang akan dikurangkan menerusi MSS ini tidak didedahkan, sumber yang dekat dengan kumpulan itu mendedahkan bahawa mungkin ia membabitkan pengurangan antara 15 peratus dan 20 peratus daripada jumlah pekerjanya. Bagi menjelaskan langkah itu, Media Prima berkata MSS juga akan membantu meningkatkan produktiviti dengan membenarkan kumpulan itu untuk menyusun semula kekuatan tenaga kerja.