suria

AEC: Malaysia Dijangka Mampu Tarik Pelaburan RM200 Bilion

Hamim Samuri

TANGKAK: Malaysia dijangka mampu menarik kira-kira 10 peratus atau RM200 bilion daripada nilai keseluruhan pelaburan di negara-negara Asean dengan pelaksanaan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) pada tahun depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri berkata, ini akan menjadi satu trend positif yang berterusan kepada negara.

"Dengan perlaksanaan AEC yang dipersetujui ada 2007 itu juga, Malaysia akan menikmati pasaran seramai 620 juta penduduk di negara-negara Asean bagi pelbagai jenis produk yang dihasilkannya," katanya.

Hamin berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Persijilan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia di sini, Ahad.

Menurutnya, di bawah AEC kemudahan eksport dan import diseragamkan dengan sistem percukaian dipermudahkan bagi membolehkan dagangan dijalankan dalam kalangan negara Asean.

Justeru katanya, pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta pihak swasta di negara ini perlu meningkatkan daya saing agar mampu menarik pelabur dan menghasilkan produk yang bermutu tinggi.

Menurut beliau, ini dapat dicapai melalui Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S dalam kalangan jabatan dan agensi kerajaan serta pihak swasta.

"Dengan kecekapan yang terbina melalui amalan ini akan mewujudkan suasana yang positif di organisasi masing-masing sehingga membawa kepada situasi menang-menang yang boleh menambat hati pelabur kelak," kata Hamim.

Sebanyak 12 organisasi telah mengambil bahagian dalam Projek Perkongsian Amalan Terbaik QE/5S yang melibatkan program latihan, bimbingan dan tunjuk ajar sistematik dari April hingga Oktober lalu.

Objektif projek itu adalah bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi menumpukan kepada penghapusan atau pengurangan pembaziran melalui proses amalan tersebut.



AEC, Hamim Samuri, pelaburan, Asean

Artikel Lain