suria

Putrajaya Lebih Menyerlah Dengan Pusat Beli-Belah Baharu

Yeow Seng (kanan) dan Shin Cheng sedang menikmati air pancut berirama di pusat beli-belah yang baharu dibuka di Putrajaya.
IOI City Mall yang baharu dibuka di Putrajaya mengalu-alukan kehadiran ratusan pembeli yang menyaksikan majlis pelancaran awalnya, Ahad.

"Ia adalah sebuah pusat beli-belah yang sangat bersepadu dengan empat penyewa utama iaitu Parkson, Tesco, Aeon Index Living Mall dan Homepro.


"Kami juga berdebar menunggu pembukaan pawagam GSC 13 skrin, yang mempunyai dua skrin IMAX pada bulan Januari," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOI Properties Berhad Lee Yeow Seng selepas majlis pra-pelancarannya.

Pusat beli-belah itu dibuka awal minggu ini.

Yeow Seng berkata keadaan lalu lintas ke pusat beli-belah yang berkeluasan 1.5 juta kaki persegi itu lancar sejak dibuka kerana kebanyakan penyewanya telah membuka perniagaan pada Khamis.

Pusat beli-belah di Putrajaya itu terletak di pintu masuk ke IOI Resort City meliputi seluruh ruang runcit tiga tingkat dengan 350 penyewa.

Semasa majlis pra-pelancaran, Yeow Seng bersama-sama dengan Pengerusi Eksekutif Kumpulan IOI, Tan Sri Lee Shin Cheng menyaksikan upacara 'kebangkitan singa' untuk menandakan permulaan hari yang penuh bermakna.

Mereka kemudiannya disertai oleh Pengarah IOI Properties Group Berhad, Datuk Lee Yeow Chor untuk menyaksikan persembahan tarian singa khas oleh kumpulan juara dunia Kun Seng Keng dan kumpulan penghibur tempatan.



Pada Disember, 85 peratus daripada kedai akan beroperasi manakala 15 peratus lagi akan dibuka sempena Tahun Baru Cina tahun depan, kata pengurus besar pusat beli-belah, Chris Chong.

"Kami teruja dapat membuka IOI City Mall di Putrajaya untuk memberikan perkhidmatan kepada penduduk di Putrajaya, Kajang dan Seri Kembangan, dan juga sebagai pilihan alternatif untuk mereka yang tinggal di Puchong," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Chong berkata perkhidmatan ulang-alik (shuttle service) ke pusat beli-belah juga boleh didapati dari pelbagai stesen bas dan kereta api di sekitar kawasan seperti Kajang Sentral, Putrajaya Sentral dan stesen KTM Serdang.

Selepas majlis itu, para tetamu dibawa melawat sekitar pusat beli-belah di mana kumpulan itu berhenti seketika untuk melihat persembahan air pancut berirama di bahagian luar.

Mereka kemudiannya pergi District 21 yang akan dibuka tidak lama lagi, sebuah taman tema 70,000 kaki persegi dan gelanggang luncur ais bersaiz Olimpik bernilai RM10 juta di mana mereka telah dihiburkan oleh beberapa peluncur dari Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Lain