suria

Pengguna LTAS Cecah 2.06 Juta Antara Januari Hingga November 2014

JOHOR BAHARU: Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) mencatat prestasi memberangsangkan dengan mengendalikan 2.06 juta pengguna pada Januari hingga November tahun ini, berbanding 1.75 juta orang bagi tempoh yang sama, tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata pertumbuhan sebanyak 17 peratus itu akan terus meningkat bulan ini, sekali gus mencapai sasaran 2.2 juta orang pengguna lapangan terbang terbabit tahun ini.

"Pertumbuhan positif ini diyakini dapat dicapai atas faktor bulan Disember merupakan musim percutian panjang kebanyakan negara serantau serta penurunan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) sejak 1 Disember lepas.

"Faktor ini akan menggalakkan lebih ramai pelancong berbelanja dan bermalam di Johor khususnya pelancong antarabangsa," katanya kepada pemberita sempena majlis pelancaran penerbangan sewa khas Tunamaya Air ke Pulau Tioman, Pahang, di LTAS, Ahad.

Siew Kiong berkata, berdasarkan rekod, daripada 2.06 juta orang itu, seramai 176,602 orang merupakan penumpang antarabangsa yang meningkat 54 peratus berbanding 114,889 orang tahun lepas.

Beliau berkata, jumlah penumpang domestik pula ialah seramai 1.83 juta orang yang meningkat 15 peratus berbanding 1.59 juta orang bagi tempoh yang sama.

Katanya, peningkatan 54 peratus itu menunjukkan inisiatif dan usaha gigih kerajaan Johor, Senai Airport dan pengusaha industri pelancongan dalam mempromosi produk pelancongan di luar negara membuahkan hasil.

Mengenai penerbangan sewa khas Tunamaya Air yang bermula semalam, Siew Kiong berkata, ia menjadikan lapangan terbang itu lebih berdaya saing dan membawa limpahan ekonomi kepada produk pelancongan di negeri ini memandangkan kebanyakan pelancong gemar berbelanja di Johor.

Sementara itu, Pengarah Tunamaya Beach  and  Spa Resort, Gan Hong Lee berkata penerbangan selama 45 minit dari LTAS ke Pulau Tioman menggunakan pesawat 'Cessna Grand Caravan C208B' itu menyediakan perkhidmatan empat kali sehari dengan lapan penumpang setiap penerbangan.

Beliau berkata syarikat menyediakan pakej percutian tiga hari dua malam dengan harga bermula daripada RM2,188/dewasa yang merangkumi penerbangan pergi-balik, penginapan di resort, hidangan sepanjang percutian dan perkhidmatan spa.

"Kita yakin penerbangan ini mendapat sambutan khususnya pelancong Singapura kerana memendekkan masa perjalanan kira-kira 45 minit berbanding empat hingga lima jam dengan memandu kenderaan dan feri," katanya.


LTAS, pengguna, Tunamaya Air

Artikel Lain