suria

KDNK Malaysia Akan Tumbuh 5.8 Peratus Tahun Ini - Firma Penyelidikan

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar Malaysia dijangka berkembang 5.8 peratus tahun ke tahun pada 2014 dan lima peratus tahun depan, kata Affin Hwang Capital.

Dalam satu nota pada Isnin, firma penyelidikan itu berkata, unjuran itu dibuat setelah mengambil kira pertumbuhan kukuh 6.4 peratus yang dicatat pada separuh pertama 2014.

Menurutnya, permintaan domestik akan terus menyokong pertumbuhan itu, walaupun dijangka merosot pada separuh pertama 2015.

"Pertumbuhan KDNK sebenar diunjur merosot daripada 5.3 peratus tahun ke tahun pada separuh kedua 2014 kepada 4.5 peratus pada separuh pertama 2015, sebelum pulih kepada 5.5 peratus pada separuh kedua 2015.

"Pertumbuhan ekonomi Malaysia tidak dijangka merosot mendadak pada 2015, berikutan kelembapan ekonomi global tidak sekata, di mana sesetengah negara maju akan mendapat manfaat daripada kejatuhan harga minyak," tambahnya.

Affin Hwang Capital berpendapat kelembapan yang dijangka pada separuh pertama 2015 adalah berdasarkan kesan asas yang lebih tinggi pada separuh pertama 2014, tetapi percaya tahap momentum ekonomi akan meningkat pada separuh kedua 2015.

Sebuah lagi firma penyelidikan, Kenanga Investment Bank Bhd berkata, KDNK Malaysia pada 2015 diunjur tumbuh pada tahap lebih perlahan iaitu 5.1 peratus berbanding anggaran 5.8 peratus pada 2014.

Menurutnya, pertumbuhan pada 2015 akan dipenuhi pelbagai cabaran, sebahagian besarnya kesan daripada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

"Ekonomi domestik Malaysia pula dijangka mengalami peningkatan mendadak dalam penggunaan pada suku pertama 2015 ketika perniagaan serta pengguna bersedia untuk pelaksanaan GST.

"Suku seterusnya bagaimanapun akan menyaksikan perbelanjaan terhad berikutan ekonomi menyesuaikan dirinya dengan sistem percukaian baharu itu," katanya.

Kenanga berkata, kejatuhan harga minyak mentah akan membantu meredakan keadaan, dengan menawarkan wang yang lebih untuk perbelanjaan dan seterusnya mengurangkan kesan GST. 


Artikel Lain