suria

Indutri Minyak Sawit Harungi Banyak Cabaran Baharu

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan pesat industri minyak sawit mencetuskan pelbagai cabaran baharu terhadap kelestarian masa depan sektor itu serta daya saingnya.

Bagi Malaysia, penembusan ke pasaran baharu penting untuk 20 juta tan minyak sawit mentah (MSM) yang dihasilkan setiap tahun.

Ini bukan masalah kecil memandangkan Indonesia, pengeluar terbesar minyak sawit, dan bahan gantian terdekat komoditi itu, minyak kacang soya, memberi saingan sengit ke atas tanaman emas ini.

Senario hari ini ialah harga minyak sawit yang rendah itu dieksport ke 150 negara yang bergantung kepada minyak sawit untuk membekalkan minyak sayuran dan lelemak untuk memasak, menggoreng, membuat marjerin serta lelemak bakeri.

Pakar Produk Derivatif Phillip Futures Sdn Bhd David Ng berkata, harga yang lebih rendah itu bermakna pembelian yang lebih tinggi, dengan lebih banyak negara, terutama negara miskin, dapat membeli minyak makan untuk penggunaan masing-masing.

"Namun harga MSM yang rendah lazimnya menjejaskan margin perladangan yang akan menjurus kepada syarikat melaksanakan amalan pengurangan kos.

"Selain itu, saingan yang semakin sengit daripada syarikat perladangan Indonesia menekan syarikat tempatan," katanya kepada Bernama.

Ng berkata, keputusan melanjutkan cukai eksport sifar ke atas MSM dilihat langkah yang baik, namun Indonesia akan mengikuti jejak langkah itu.

"Usaha ini menggalakkan saingan agresif dan boleh menjejaskan penggiat tempatan yang tidak kompetitif seperti rakan di negara jiran," katanya.

Kerajaan Malaysia juga mengecualikan cukai eksport 4.5 peratus ke atas MSM sejak 1 September 2014 hingga 28 Februari, 2015 bagi merangsang eksport serta mengurangkan inventori, yang seterusnya akan memberi impak positif ke atas MSM tempatan.

Ng juga berkata 2014 menandakan anjakan paradigma baharu berikutan  kejatuhan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) ke paras paling rendah dalam tempoh beberapa tahun, disebabkan bekalan yang banyak dan permintaan yang rendah.

Ini memberi kesan negatif ke atas MSM berikutan minyak mentah yang tinggi menjejaskan permintaan untuk biodiesel terutama permintaan untuk pengadunan.

"Malah bagi pengeluar biofuel, sesetengahnya mungkin merasa sukar jika harga minyak mentah dunia terus merosot, dan salah satu faktor utama yang perludiberikan perhatian ialah keadaan cuaca," katanya.

Pada 2014, harga MSM turun naik antara RM1,900 setan dan RM2,800 setan, susut kira-kira 18 peratus setahun hingga setakat ini, disebabkan beberapa perkembangan negatif dalam pasaran.

Berdasarkan kedudukan ini, Ng berkata beliau mahu melihat permintaan dari China pulih selepas permintaan yang lemah pada 2014.

"Kami menjangkakan India dan Pakistan akan mengekalkan penggunaan minyak sawit masing-masing pada paras semasa kerana kami tidak nampak sebarang peningkatan dari kedua-dua negara ini.

"Namun, kita perlu berhati-hati terhadap perkembangan dalam pasaran minyak sayuran, terutama harga minyak matahari, minyak sesawi dan minyak soya," kata Ng.

Harga yang tidak banyak berbeza antara harga minyak sayuran ini dengan minyak sawit, berpotensi menjejaskan permintaan, katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd  Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah berkata permintaan jangka panjang dan peluang pertumbuhan minyak sawit perlu diberikan penekanan.

"Ini sama untuk minyak, lelemak dan kimia khusus yang menjejaskan dan mencabar syarikat perladangan seperti FGV.

"Pendedahan kepada harga komoditi yang kerap berubah, saingan daripada tanaman minyak alternatif dan cabaran dalam pelaburan bank tanah - sama ada di dalam atau di luar negara - merupakan persekitaran perniagaan yang diharungi oleh semua syarikat perladangan," katanya.

minyak sawit, WTI, lelemak bakeri

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan