suria

Kumpulan Ambank Kaji Langkah Kurangkan Beban Mangsa Banjir

PUTRAJAYA: Kumpulan AmBank sedang mengkaji usaha tambahan yang boleh dilakukannya untuk meringankan beban mangsa banjir di beberapa negeri yang dilanda bencana alam itu.

Pengerusinya, Tan Sri Azman Hashim dalam kenyataan Jumaat berkata, ketika ini kumpulan itu menghulurkan bantuan kepada mangsa melalui kelab sukan kumpulan itu, Kelab AmBank Group.

Katanya, sebagai tanda simpati dengan nasib mereka yang terjejas oleh banjir di seluruh negara, Kumpulan AmBank dan Perbadanan Putrajaya juga mengambil keputusan membatalkan konsert Ambang 2015 Putrajaya bagi menyambut kedatangan tahun 2015.

"Kami berdoa agar mangsa banjir tabah dan bersemangat tinggi untuk menghadapi detik-detik menyukarkan ini," katanya.

Beliau berkata, ini bukan kali pertama Kumpulan AmBank mengambil keputusan untuk tidak meneruskan rancangan sambutan tahun baharu.

Katanya, langkah serupa diambil pada 2004 apabila rantau ini dilanda tsunami dan sekali lagi pada 2006 apabila kedatangan tahun baharu serentak dengan sambutan Hari Raya Haji.

Konsert Ambang 2015 Putrajaya dijadual diadakan pada 31 Disember dari 9 malam hingga 1 pagi di Dataran Putrajaya, Presint 3, Putrajaya, yang membariskan artis popular tanah air.


Ambank, banjir, Ambang 2015

Artikel Lain