KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Indonesia dan Otoritas Jasa Kewangan menandatangani Perjanjian Dasar Induk (HOA) yang berfungsi sebagai pelopor kepada Rangka Kerja Penyepaduan Perbankan Asean (ABIF). Perjanjian itu menggariskan bidang yang akan dilaksanakan bersama mengikut ABIF antara Malaysia dan Indonesia, kata bank pusat itu menerusi satu kenyataan hari ini. Ia menetapkan definisi Bank Berkelayakan Asean (QAB), yang memperincikan kehadiran bank-bank Malaysia dan Indonesia dalam bidang kuasa masing-masing. "Ia juga mengenal pasti akses pasaran dan kelonggaran operasi yang akan diberikan kepada institusi perbankan, apabila diwujudkan sebagai QAB dalam bidang kuasa masing-masing," kata BNM. Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata bagi Indonesia dan Malaysia, penyepaduan kewangan yang lebih kukuh itu berpotensi memudahkan perdagangan dua hala dan pelaburan merentas sempadan. "Sekali gus ia akan menyumbang kepada pertumbuhan yang saling memperkukuh antara satu sama lain. "HOA merupakan langkah positif yang membolehkan proses dua hala di bawah ABIF, dan diharapkan dapat berfungsi dalam menggalakkan aturan dua hala yang lain," kata BNM. Penyelesaian perjanjian itu bermatlamat membuka jalan untuk memuktamadkan Garis Panduan ABIF dan seterusnya menyokong Perjanjian Rangka Kerja Asean bagi Perkhidmatan (AFAS). ABIF merupakan pendekatan inovatif dan pragmatik yang membolehkan negara anggota Asean memperkukuh penyepaduan perbankan serantau menerusi aturan yang saling menguntungkan, berasaskan tahap kesediaan.