suria

Inflasi Di China Meningkat 1.5 Peratus

BEIJING: Inflasi di China meningkat 1.5 peratus pada Disember, naik sedikit daripada paras rendah dalam lima tahun pada 1.4 peratus pada November, kata Biro Perangkaan Negara (NBS) pada Jumaat.

Peningkatan kadar itu ekoran kenaikan harga makanan sebanyak 2.9 peratus daripada tahun sebelumnya pada Disember berbanding 2.3 peratus pada November, demikian mengikut data yang dikeluarkan.

Indeks Harga Pengguna (CPI) tahunan di China, yang menilai inflasi, meningkat sebanyak 2.0 peratus pada tahun 2014 berbanding tahun 2013, dan ia masih rendah daripada jangkaan kerajaan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun itu.

Sementara itu, NBS berkata Indeks Harga Pengeluar (PPI) di China, yang menilai inflasi di peringkat pemborong, jatuh 3.3 peratus berbanding tahun sebelumnya pada Disember, penurunan tertinggi pada 2014, selepas kurang 2.7 peratus pada November.

Pakar Ekonomi Kanan NBS, Yu Qiumei mengaitkan penurunan pada Disember dengan kejatuhan merudum harga minyak.

Yu berkata pengurangan harga minyak bertapis, minyak dan gas, serta produk dan bahan kimia mentah menyebabkan penyusutan 0.4 peratus dalam keseluruhan bacaan PPI, yang turut menyumbang penurunan 67 peratus secara keseluruhan bagi PPI pada Disember.

PPI turun 1.9 peratus pada tahun 2014. Kadar itu menguncup sejak Mac 2012.


Inflasi, China

Artikel Lain