KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd bekerjasama dengan BlackBerry melancarkan telefon pintar terbaharu BlackBerry Classic di bawah pakej Celcom, First Plan. "Harga runcit telefon baharu dengan pakej ini ialah RM1,588 dan boleh didapati di semua outlet Celcom Blue Cube dan Celcom Xclusive bermula Rabu. "Pada masa ini kita mempunyai kira-kira 200,000 pelanggan Celcom-BlackBerry daripada dua juta pelanggan pascabayar dan berharap dapat menambah bilangan pengguna," kata Ketua Pegawai Pemasaran Celcom Zalman Aefendy Zainal Abidin, pada pelancaran telefon itu, di sini, Rabu. Pengarah Kanan BlackBerry bagi Pengurusan Produk Asia Pasifik, Damian Tay berkata, telefon pintar itu disasarkan untuk ahli perniagaan yang mengutamakan produktiviti dan mahu peranti mudah alih bergaya. "BlackBerry Classic baharu ini menampilkan skrin sentuh lebih besar dan papan kekunci sentuh QWERTY baharu. "Model ini merupakan naik taraf BlackBerry Bold 9900 dengan hayat bateri 50 peratus lebih lama, enjin pelayar tiga kali lebih pantas, ruang skrin 60 peratus lebih besar dan pelbagai pilihan aplikasi BlackBerry World," katanya.