KUALA LUMPUR: Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak menafikan laporan yang menyebut bahawa cadangan penggabungan dengan RHB Capital Bhd dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dibatalkan. "Rundingan masih diteruskan dan kami akan membuat pengumuman sama ada penggabungan itu diteruskan atau sebaliknya, dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran laporan khas bertajuk 'Merangka semula Pelan Asean : Bagaimana Syarikat Merangka Strategik Baharu di Asia Tenggara." Nazir berkata, pengurusan ketiga-tiga syarikat mengadakan perbincangan mendalam sejak beberapa minggu lepas. Beliau berkata, walaupun tempoh muktamad tidak ditetapkan untuk rundingan itu, ketiga-tiga pihak bersetuju untuk memutuskan sama ada mereka akan meneruskan penggabungan atau sebaliknya bulan ini. "Kami belum melangkah ke fasa seterusnya dalam proses ini iaitu mendapatkan kelulusan pemegang saham dan pengawal atur. "Pada masa ini kami dalam proses mengesahkan kes penggabungan perniagaan, iaitu sama ada kami dapat mewujudkan nilai berasaskan andaian asal, berdasarkan terma yang kami rundingkan serta berasaskan persekitaran ekonomi," katanya. Mengenai laporan yang mengatakan penggabungan itu dibatalkan disebabkan RHB Capital mahukan lebih tunai, Nazir berkata: "ini tidak benar. "Hubungan kami dengan RHB Capital dan MBSB sentiasa baik dan rundingan dijalankan pada tahap yang sangat harmoni. Kerjasama sangat hebat. Bank Negara Malaysia memberikan lampu hijau untuk ketiga-tiga institusi kewangan itu memulakan rundingan cadangan penggabungan pada 10 Julai tahun lepas, yang bermatlamat mewujudkan francais perbankan Islam yang diperbesar. Penggabungan itu jika dilaksanakan, bakal menyaksikan CIMB melupuskan kesemua aset dan liabiliti kepada RHB Capital menerusi pertukaran saham pada nisbah tukaran satu saham RHB Capital untuk 1.38 saham Kumpulan CIMB. Bahagian kedua perjanjian itu meliputi cadangan penggabungan CIMB Islamic, RHB Islamic dan MBSB bagi mewujudkan bank Islam mega, yang kekal sebagai anak syarikat gabungan CIMB-RHB.