suria

R&D: Marvell Semi-Conductor Rancang Labur Lebih RM2 Juta Setahun

GEORGE TOWN: Marvell Semi-Conductor Sdn Bhd merancang melabur lebih RM12 juta setahun untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menyokong pusat reka bentuk yang baru dibuka di Taman Perindustrian Teknopleks Bayan Lepas.

Pengarah syarikat Ong Chin Hu berkata, pusat itu bermatlamat membangunkan litar bersepadu, sebuah peranti elektronik yang diperbuat daripada bahan semikonduktor.

"Pelaburan RM12 juta itu akan melibatkan pembelian peralatan, sokongan untuk rangkaian R&D, pembangunan modal insan dan penambahan pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pembukaan pusat reka bentuk  Marvell oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, di sini, Khamis.

Ong berkata, pusat berharga RM8 juta itu akan menyediakan kemudahan dan persekitaran kerja yang lebih baik untuk pekerja dan pelanggan, selain untuk membangunkan bakat untuk menghasilkan teknologi bertaraf dunia pada masa depan.

Beliau berkata unjuran ke atas industri semikonduktor tahun ini dijangka positif, didorong oleh elektronik pengguna, dan menambah prestasi industri bagaimanapun bergantung kepada ekonomi dunia.

Beroperasi lapan tahun lepas di Pulau Pinang, kepakaran Marvell termasuk dalam rangka bina pemproses mikro dan pemproses isyarat digital dalam pelbagai platform, termasuk penyelesaian storan tinggi, mudah alih dan tanpa wayar, rantaian, produk pengguna mesra alam.

Anak syarikat Marvell Technology Group Ltd itu yang diasaskan pada 1995, beribu pejabat di California, Amerika Syarikat mempunyai lebih 7,000 pekerja.

Syarikat peneraju semikonduktor itu mengeksport lebih satu bilion cip setahun dan mengurus operasi pusat reka bentuk termasuk di China, Eropah, Hong Kong, India, Jepun, Singapura, Taiwan dan Amerika.

Artikel Berikut

Artikel Lain