suria

Malaysia Pasaran Tepat Untuk Labur Wang, Kata Fortune Magazine

KUALA LUMPUR: Malaysia adalah antara 'tujuh pasaran membangun yang berbaloi atau tepat untuk pelaburan wang,' lapor majalah perniagaan popular, Fortune Magazine.

"Di Malaysia, kerajaan yang memerintah sekarang (Barisan Nasional) sedang berusaha sedaya upaya untuk terus kekal berkuasa di tengah-tengah desakan yang menuntut perubahan," kata penulisnya, Ian Bremmer.

Dalam catatannya, beliau turut membangkitkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan langkah penstrukturan semula subsidi bahan api dan akan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April depan yang disifatkan Bremmer sebagai usaha untuk memulihkan kedudukan fiskal kerajaan Malaysia.

Bremmer turut yakin bahawa Najib berkemungkinan memantapkan lagi Program Transformasi Ekonomi dengan memperkenalkan lagi rangsangan insentif cukai bagi pelabur asing.

"Langkah untuk terus meliberalisasikan sektor perkhidmatan perusahaan, juga tidak terkecuali.

"Ini satu usaha yang wajar ketika pertumbuhan terus perlahan di China (dan impak kelembapan itu turut dirasai di Malaysia) dan kerajaan Najib akan berasakan tekanan untuk meningkatkan perbelanjaan awam terhadap infrstruktur, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

"Ini sememangnya baik, terutamanya jika pihak berkuasa, seperti dijangkakan, terus melakukan agenda pemulihan fiskal secara meluas dengan sokongan golongan pertengahan bagi menseimbangkan bajet negara menjelang 2020," katanya.

Selain Malaysia, pasaran membangun lain yang turut dirujuk Fortune Magazine sebagai 'Tujuh Yang Bertuah' adalah India, Indonesia, Mexico, Columbia, Poland dan Kenya.

Rencana penuh itu disiarkan dalam edisi Februari 2015 majalah Fortune.


Artikel Lain