suria

Ambank Group Sahkah Ashok Ramamurthy Letak Jawatan Pengarah Urusan Kumpulan

Ashok Ramamurthy

KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) mengesahkan Ashok Ramamurthy akan meletakkan jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dalam waktu terdekat ini.

Ramamurthy akan menyertai keluarganya di Melbourne sebagai sebahagian daripada peralihan terancang di mana beliau akan meneruskan kerjayanya sebagai eksekutif kanan di Australia and New Zealand Banking Group Ltd (ANZ).

Ramamurthy menyertai AmBank Group daripada ANZ pada 2007 sebagai Ketua Pegawai Kewangan dan menjadi pengarah urusan kumpulan sejak 2012.

"AmBank Group telah mencatatkan kemajuan ketara di bawah pimpinan Ashok," kata Pengerusi AmBank Group Tan Sri Azman Hashim dalam satu kenyataan.

"Ini termasuk menstrukturkan semula jenama AmBank dalaman dan luaran, menaik taraf prasarana teknologi kami dan mengukuhkan kedudukan strategik kami.

"Kumpulan memiliki masa depan yang sangat cerah dan sebagai mewakili Lembaga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ashok di atas sumbangan beliau selama lapan tahun lepas," katanya.

Bagaimanapun, Azman berkata Ashok akan terus bertanggungjawab memimpin AmBank Group sehingga pelantikan Pengarah Urusan Kumpulan baharu dibuat.

"Apa yang penting, kehadiran Ashok juga mengukuhkan hubungan antara AmBank Group dan ANZ yang terus menjadi rakan kongsi strategik jangka panjang yang komited bagi bank kami.

"Selepas lapan tahun bersama dengan AmBank Group, kami kini tiba pada tahap peralihan kepada Pengarah Urusan Kumpulan baharu dan Lembaga telah memulakan proses mengenal pasti pengganti."

Sementara itu, Ramamurthy berkata menjadi satu penghormatan besar baginya menjadi Pengarah Urusan AmBank Group dalam tempoh tiga tahun lepas.

"Malaysia merupakan tempat yang menarik untuk tinggal dan bekerja dan menjadi kebanggaan bagi saya untuk menerajui pasukan pengurusan kelas pertama dan 12,000 kakitangan AmBank Group yang berdedikasi untuk menyokong pelanggan kami.

"Memang sentiasa menjadi hasrat saya untuk kembali ke Melbourne untuk bersama isteri dan keluarga saya dan meneruskan kerjaya saya di ANZ. Walaupun masih banyak yang perlu dilakukan pada bulan-bulan akan datang, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengerusi dan lembaga pengarah di atas sokongan berterusan mereka," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ambank Group berkata Pengarah Urusan Perbankan Borong, Liputan, Pushpa Rajadurai; Pengarah Urusan, Perbankan Borong, Produk, Kok Tuck Cheong; dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Mandy Simpson, mempunyai kontrak sedia ada dalam kumpulan mengikut kontrak-kontrak ini seperti biasa. 

Ambank Group, Ashok Ramamurthy, ANZ

Artikel Sebelum

Artikel Lain