KUALA LUMPUR: Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mempersoalkan asas kemungkinan Fitch Ratings menurunkan penarafan ke atas Malaysia berikutan asas ekonomi negara yang kukuh. "Apabila kita melihatnya berbanding negara serantau yang lain, kita sekurang-kurangnya setanding mereka, malah mungkin lebih baik di segi prospek pertumbuhan dan prestasi kerana kita mempunyai sistem kewangan yang kukuh dan kedudukan fiskal kita telah menunjukkan prestasi baik dalam pengurangan defisit serta hutang luar kita secara relatifnya rendah. "Persoalannya ialah apakah yang menjadi asas perspektif berkenaan?" katanya pada sesi pleno di Persidangan Invest Malaysia 2015 di sini, Khamis. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar turut hadir di majlis itu. Persidangan dua hari yang bermula pada Khamis, dianjurkan secara bersama oleh Bursa Malaysia dan CIMB Group. Mengenai kedudukan fiskal negara, Zeti berkata, beberapa pembaharuan telah dilaksana untuk menambah baik kedudukan Malaysia seperti rasionalisasi subsidi yang telah menjana penjimatan lebih RM20 bilion di samping pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP). Ketika ditanya jika CBP akan menjejaskan permintaan domestik yang kini menjadi pemacu utama ekonomi, beliau berkata, berlaku sedikit penyederhanaan dalam perbelanjaan, tetapi kesannya diimbangi oleh harga minyak yang lebih rendah. Mengenai kesan harga minyak yang rendah ke atas ekonomi, Abdul Wahid berkata, kebergantungan negara ke atas hasil minyak dan gas, yang kini 30 peratus, telah dikurangkan. "Kita akan terus mengurangkan kebergantungan ke atas sektor itu dengan mempelbagaikan sumber hasil," katanya. Mengenai Rancangan Malaysia Ke-11 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 21 Mei ini, Wahid berkata, kerajaan akan mengumumkan beberapa langkah penting yang akan memberi lebih tumpuan ke atas komponen inklusif dan mampan ke atas model ekonomi.